Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jeff Bezos Kata Ada Peranan Besar Dalam Pemilihan Robert Pattinson Sebagai James Bond

Jeff Bezos Robert Pattinson
Kredit: AFP & Instagram Robert Pattinson

Jeff Bezos mendedahkan dirinya memainkan peranan besar dalam pemilihan pelakon Robert Pattinson sebagai James Bond terbaharu bagi francais filem terkenal itu.

Iklan

Pengerusi Amazon tersebut berkata, pada awalnya dia kurang bersetuju dengan pemilihan Pattinson kerana pelakon berkenaan sudah terlalu dikenali ramai.

Perkara itu dikongsikan Bezos ketika menghadiri sebuah acara di California, sambil menyebut populariti Pattinson menerusi filem seperti Batman dan siri Twilight.

Menurutnya, watak ejen 007 sebelum ini lazimnya diberikan kepada pelakon yang belum begitu terkenal ketika dipilih membintangi filem berkenaan.

Bagaimanapun, pandangannya berubah selepas melihat ujian lakonan yang dijalankan sehingga membuatkannya yakin Pattinson memang sesuai membawa watak James Bond.

“Ketika ujian lakonan dijalankan, jelas sekali bahawa dialah James Bond,” katanya ketika menghadiri acara Semafor Silicon Valley & The World pada Selasa.

Jeff Bezos Main Peranan Besar Pemilihan Robert Pattinson Sebagai James Bond

Bezos turut menyifatkan Pattinson sebagai pelakon istimewa yang berjaya menonjolkan sesuatu berbeza menerusi persembahannya sepanjang proses pemilihan tersebut.

“Rob mempunyai sesuatu yang istimewa,” katanya dalam acara berkenaan ketika berkongsi pengalaman memilih pelakon utama filem terbaharu francais itu.

Untuk rekod, Pattinson diumumkan sebagai pelakon ketujuh yang membawa watak James Bond pada Isnin, menggantikan Daniel Craig yang sebelum ini memegang peranan tersebut.

Pelakon kelahiran London itu bakal muncul dalam filem James Bond ke-26 yang dijadualkan menemui penonton pada 2028.

Dalam satu kenyataan, Pattinson menyifatkan peluang membawa watak ejen rahsia terkenal itu sebagai penghormatan terbesar sepanjang perjalanan kerjayanya.

“James Bond ialah antara watak paling ikonik dalam sejarah perfileman dan diberikan kepercayaan membawa watak 007 merupakan penghormatan seumur hidup,” katanya.

Filem terbaharu itu bakal diarahkan Denis Villeneuve, namun pihak penerbit masih belum mengumumkan judul rasmi serta tarikh tayangan tepat.

Pemilihan Pattinson sekali gus menamatkan spekulasi selama beberapa tahun mengenai pelakon yang bakal menggantikan Craig dalam salah satu watak paling mendapat perhatian Hollywood.

Sebelum keputusan dibuat, beberapa nama lain termasuk Josh O'Connor, Callum Turner dan Jack Lowden turut dikaitkan dengan watak ejen rahsia berkenaan.

Bagaimanapun, Amazon MGM akhirnya memilih Pattinson yang sudah mempunyai nama besar dalam industri perfileman serta pengalaman membintangi pelbagai produksi terkenal.

Bezos berkata, proses pemilihan dilakukan dengan teliti sebelum keputusan akhir dibuat pada Jumaat lalu selepas beberapa calon menjalani ujian lakonan.

Menurutnya, lima pelakon berjaya mara ke peringkat akhir dan masing-masing diminta melakonkan tiga babak berbeza menggunakan kostum serta set penggambaran sebenar.

“Apabila kami sampai kepada senarai lima calon terakhir, semuanya memang hebat. Namun, Rob mempunyai sesuatu yang istimewa menerusi lakonannya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan keputusan memilih Pattinson dibuat tanpa sebarang perdebatan panjang kerana semua pihak, termasuk pengarah Villeneuve, bersetuju dengan pilihannya.

Pemilihan itu berlaku ketika industri perfileman Hollywood berdepan pengurangan kos serta penggabungan syarikat, selain kesukaran menarik penonton kembali ke pawagam.

Sumber:BBC
Intipati
  • Jeff Bezos berkata ujian lakonan Pattinson meyakinkannya pelakon itu sesuai menjadi James Bond.
  • Pattinson diumumkan sebagai pelakon ketujuh 007, menggantikan Daniel Craig dalam francais tersebut.
  • Filem James Bond ke-26 bakal diarahkan Denis Villeneuve dan dijadualkan tayang pada 2028.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan