Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Digigit Anjing? Jangan Anggap Luka Biasa, Ikut Nasihat Doktor Ini

Digigit Anjing
Kredit: The Times of India

Digigit Anjing? Jangan Anggap Luka Biasa, Ikut Nasihat Doktor Ini

Bila bercakap tentang gigitan anjing, mungkin ramai yang menganggapnya sebagai luka biasa sebab hanya ada kesan calar atau luka kecil sahaja.

Tapi, tanggapan ini salah!

Menerusi satu perkongsian seorang doktor di Threads dengan nama pengguna @drkhaw_familymedicine, beliau meluahkan kerisauan ini susulan kes digigit anjing tinggi di sekitar kawasannya.

"Sepanjang dua bulan lepas, saya melihat ada banyak kes digigit anjing di Jalan Terengganu dan Farlim. Ada yang luka kecil, ada yang hanya calar.

"Tetapi ada juga yang lukanya begitu dalam sehingga saya terpaksa merujuk mereka ke hospital untuk surgical debridement, kerana ia tidak lagi sesuai dirawat di klinik," katanya.

Doktor Khaw turut menjelaskan bahawa mulut anjing membawa pelbagai jenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan.

"Di dalam mulut anjing, terdapat pelbagai jenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, tisu lembut, malah dalam kes tertentu boleh merebak ke tulang atau darah jika tidak dirawat dengan betul.

"Sebab itu, rawatan awal itu sangat-sangat penting,"

Oleh itu, beliau telah berkongsi beberapa perkara yang perlu dibuat jika seseorang itu digigit anjing, yang mana langkah pertamanya luka perlu dibasuh dengan segera.

Tindakan Awal Jika Digigit Anjing

Ujarnya, basuh luka gigitan anjing menggunakan air yang mengalir dengan sabun sekurang-kurangnya 15 minit.

"Ini adalah langkah pertama yang sangat penting untuk mengurangkan risiko jangkitan dan rabies," jelasnya.

Selain itu, Dr Khaw turut menasihatkan agar terus berjumpa dengan doktor secepat mungkin selepas digigit anjing agar penilaian terhadap rawatan boleh dilakukan.

"Doktor akan menilai sama ada luka memerlukan pembersihan yang lebih mendalam, antibiotik atau jahitan.

"Tidak semua luka gigitan sesuai dijahit serta-merta," katanya.

Beliau turut menasihatkan untuk memastikan kedua-dua status bagi tetanus dan rabies telah dinilai bagi mengelakkan jangkitan bakteria yang lebih serius.

"Bergantung kepada jenis haiwan, keadaan gigitan dan status vaksinasi haiwan tersebut, anda mungkin memerlukan tetanus vaccination atau rabies post-exposure prophylaxis (PEP).

"Ramai orang hanya risau tentang rabies.

"Tetapi sebenarnya, jangkitan bakteria selepas gigitan anjing jauh lebih kerap berlaku, dan jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan yang serius pada tisu, sendi atau tulang," jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap orang ramai tidak perlu berjumpa dengan doktor disebabkan gigitan anjing.

Bagaimanapu, katanya, jika perkara tersebut berlaku, jangan ambil tindakan sendiri dan cuba ubati luka itu sendiri.

"Jangan tunggu. Jangan sapu ubat sendiri sahaja. Jangan anggap ia luka biasa. Rawatan awal boleh mengelakkan komplikasi yang lebih serius," katanya.

Intipati
  • Dr Khaw berkongsi nasihat selepas melihat banyak kes gigitan anjing di kawasannya.
  • Luka gigitan perlu dibasuh dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit.
  • Mangsa disaran berjumpa doktor untuk penilaian rawatan, termasuk tetanus dan rabies.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan