Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Harumkan Nama Negara Melalui Silat, Jufferi Jamari Kini Bergelar Dato'
Bekas jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari telah dikurniakan Darjah Kebesaran Pahang sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Sultan Pahan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 1 Ogos lalu.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Al-Jufferi memaklumkan bahawa beliau menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato'.
Segak mengenakan persalinan Baju Melayu rona hitam lengkap bersamping songket, beliau menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada Sabtu lepas.
Kehadirannya ditemani isteri tercinta, Nurul Farhana Abdul Majid yang mengenakan baju kurung beserta selendang.
Dalam pada itu, bekas atlet itu turut menzahirkan rasa kesyukuran atas anugerah tersebut menerusi hantaran yang sama.
"Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa atas nikmat yang telah saya peroleh pada hari yang sangat bermakna ini.
"Menjunjung Kurnia Tuanku. Sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada patik.
Dato' Jufferi turut berkata beliau akan menjunjung anugerah yang diberikan serta melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh Baginda.
"Anugerah yang telah diberikan ini akan patik junjung dan laksanakan seperti mana yang telah Tuanku amanahkan.
"Patik mendoakan agar Tuanku sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah oleh Allah SWT serta dianugerahi kesihatan dan kedaulatan yang berpanjangan. Aaminn," ujarnya.
Sementara itu, melihat ruangan komen pada hantaran Dato' Jufferi, rata-rata warganet termasuk selebriti tempatan mengucapkan tahniah kepada bekas jaguh silat negara itu.
Antara komen termasuklah dari pelawak Fad Bocey, pelakon Adam Shahz dan Remy Ishak serta rakan atlet boling tenpin, Nora Lyana Nastasia Norkamal serta ramai lagi.
Sekadar info, bekas atlet negara berusia 34 tahun itu merupakan anak jati kelahiran Pahang dan kini sedang mengusahakan Al Jufferi Silat Academy.