Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

‘Lane Hogging’ Ganggu Aliran Trafik, MIROS Uji Had Laju Nasihat Minimum

Had laju Nasihat minimum
Kredit: MIROS

‘Lane Hogging’ Ganggu Aliran Trafik, MIROS Uji Had Laju Nasihat Minimum

Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah melaksanakan projek Pembuktian Konsep atau Proof of Concept (POC) Had Laju Nasihat Minimum mulai 1 Ogos 2026 lalu.

Menerusi satu siaran media, pelaksanaan inisiatif ini bertujuan untuk menangani isu memonopoli lorong (lane hogging) sekali gus meningkatkan kelancaran aliran trafik.

Dengan kerjasama dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), POC Had Laju Nasihat Minimum dilaksanakan dari 1 Ogos hingga 31 Oktober.

"Pelaksanaannya bertujuan menangani isu memonopoli (lane hogging), khususnya apabila kenderaan bergerak perlahan di lorong kanan sehingga menganggu kelancaran aliran trafik, mencetuskan kesesakan dan mendorong pemandu lain untuk melakukan pertukaran lorong atau memotong secara berbahaya.

"Keadaan ini boleh meningkatkan konflik antara kenderaan serta risiko kemalangan jalan raya," tulis MIROS.

MIROS Uji Had Laju Nasihat Minimum Di Tiga Lokasi

POC Had Laju Nasihat Minimum ini akan dilaksanakan di tiga lokasi rintis iaitu PLUS E1 arah utara antara Tanjung Malim dan Behrang (KM400.1 hingga KM388.0), SKVE E26 (KM9.6 hingga KM16.7) dari Plaza Tol Ayer Hitam ke Bandar Saujana Putra dan PLUS E2 arah utara antara Bandar Ainsdale dan Nilai (KM267.8 hingga 278.8).

Sepanjang tiga bulan pelaksanaannya, aktiviti pemantauan dan pengumpulan data akan dijalankan bagi menilai keberkesanan serta kebolehlaksanaan inisiatif berkenaan.

Sementara itu, had laju minimum yang dinasihatkan bagi dua lorong adalah 80km/j bagi lorong kanan dan 60km/j di lorong kiri.

Bagi tiga lorong pula, had kelajuan minimum lorong kanan adalah 100km/j, 80km/j bagi lorong tengah 1 dan 60km/j bagi lorong kiri.

Bagi empat lorong pula, had laju minimum lorong kanan adalah 100km/j, 80km/j bagi lorong tengah 1, 60km/j bagi lorong tengah 2 dan lorong kiri.

Had Laju Minimum yang terpakai di setiap lokasi hendaklah dirujuk pada papan tanda yang dipasang di sepanjang kawasan POC.

Bagaimanapun, had laju minimum hanyalah panduan dan bukan ketetapan mandatori atau tindakan penguatkuasaan dan ia tertakluk pada keadaan trafik, cuaca dan keselamatan semasa.

Dalam pada itu, POC ini dilaksanakan bagi menilai keberkesanan dan kebolehlaksanaan Had Laju Nasihat Minimum dalam menggalakkan penggunaan lorong yang lebih teratur dan selamat.

Penilaian akan dibuat berdasarkan cerapan data trafik serta tahap pemahaman dan penerimaan pengguna lebuh raya terhadap inisiatif ini melalui kaji selidik.

Orang ramai diseru untuk memberikan kerjasama, mematuhi papan tanda yang dipasang serta mengamalkan penggunaan lorong yang betul dan berhemah.

Maklumat lanjut mengenai POC Had Laju Nasihat Minimum boleh didapatkan melalui www.miros.gov.my/HLNM

Sumber:MIROS
Intipati
  • MIROS melaksanakan POC Had Laju Nasihat Minimum dari 1 Ogos hingga 31 Oktober.
  • Tiga lokasi rintis melibatkan laluan PLUS E1, SKVE E26 dan PLUS E2 arah utara.
  • Had laju minimum itu bersifat panduan, bukan mandatori atau tindakan penguatkuasaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan