Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rumah Putih: Trump Masih Presiden AS Walaupun Demokrat Menang

trump
Kredit: AFP

ISTANBUL, 4 Nov (Bernama-Anadolu) -- Rumah Putih pada Rabu memuat naik gambar Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang membongkok di atas meja Resolute Desk, disertai mesej: “Makluman khidmat awam: Trump masih Presiden anda”, lapor Anadolu Ajansi.

Hantaran menerusi akaun Rumah Putih di platform media sosial X itu dibuat selepas Parti Demokrat mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, apabila berjaya menguasai Dewan Perwakilan dan Senat, sekali gus menamatkan penguasaan Parti Republikan di Kongres.

Keputusan itu dijangka memberikan Parti Demokrat pengaruh lebih besar untuk menyekat agenda perundangan Trump, memandangkan Parti Republikan sebelum ini hanya memiliki majoriti tipis di kedua-dua dewan.

Trump sebelum ini mengakui bahawa Parti Demokrat “melakukan tugas dengan baik” dalam pilihan raya itu, namun berpendapat calon Parti Republikan mungkin memperoleh keputusan lebih baik sekiranya namanya turut tersenarai sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan.

Beliau turut berkata pengundi menyokong dasarnya terhadap Iran, tetapi “mungkin tidak bersedia” menerima kesan jangka pendek berupa kenaikan harga petrol.

Sambil memuji calon Parti Demokrat kerana berkempen “bersungguh-sungguh”, Trump menegaskan keputusan pilihan raya itu bukan satu “tamparan terhadap saya”.

Presiden itu berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Parti Demokrat dalam “banyak, banyak perkara”, termasuk isu imigresen.

-- BERNAMA-ANADOLU

Intipati
  • Rumah Putih menegaskan Trump masih Presiden AS menerusi hantaran di platform X.
  • Parti Demokrat menang besar dan menguasai Dewan Perwakilan serta Senat AS.
  • Trump berkata keputusan itu bukan tamparan terhadapnya dan sedia bekerjasama dengan Demokrat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan