Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bayangkan Jika Internet Lenyap, Ini 5 Kesan Besar Yang Mungkin Berlaku
Internet menjadi salah satu keperluan yang sangat mustahak untuk penduduk dunia. Manakan tidak, kebanyakan urusan yang dilakukan bergantung kepada internet.
Tambahan pula, di era media sosial ini, internet sangat diperlukan untuk memudahkan urusan komunikasi yang bukan sahaja berlaku secara domestik tetapi di peringkat global juga.
Kelaziman menggunakan internet ini mencetuskan persoalan jika suatu hari nanti rangkaian tersebut tiba-tiba tidak berfungsi. Apa akan berlaku kepada kita semua?
Bagi mengetahui mengenai impaknya, ia perlu dilihat dari pelbagai perspektif antaranya:
Seperti yang telah dinyatakan di atas, komunikasi akan menjadi salah satu kesan paling segera dan ketara sekiranya internet lenyap.
Manakan tidak, platform media sosial, perkhidmatan e-mel, aplikasi pemesejan dan kemudahan panggilan video telah menjadi medium penting dalam hubungan peribadi dan profesional.
Tanpa internet, masyarakat terpaksa kembali bergantung kepada kaedah komunikasi tradisional seperti telefon talian tetap dan perkhidmatan pos. Pun begitu, kecekapan dan kelajuan komunikasi pasti akan merosot dengan ketara.
Kesan ketiadaan internet sebenarnya bergantung kepada berapa lama internet terputus. Jika seluruh internet dunia terhenti hanya beberapa jam, impaknya kepada ekonomi sudah pun sangat besar.
Sebagai contoh, antara musim panas 2015 dan musim panas 2016, dunia kehilangan sekurang-kurangnya $2.4 bilion akibat siri gangguan kecil internet yang hanya berlaku di negara tertentu.
Justeru, seandainya gangguan berlaku dengan menyeluruh dan selama sehari atau seminggu, impaknya terhadap ekonomi pasti amat dahsyat.
Lebih teruk, jika internet terputus selama-lamanya, syarikat-syarikat seperti Google, Microsoft, Facebook dan Amazon akan mengecil secara drastik atau terus lenyap.
Ekonomi global pula terpaksa disusun semula sepenuhnya dan proses itu akan menelan belanja trilion dolar, mencetuskan pengangguran besar-besaran dan meningkatkan risiko krisis ekonomi global terbesar dalam sejarah manusia.
Bayangkan pula perniagaan yang bergantung kepada internet. Jika gangguan bersifat kekal atau berpanjangan, banyak syarikat akan gulung tikar dan ratusan ribu pekerja akan kehilangan mata pencarian.
Sesetengah negara akan merasai kesannya lebih teruk berbanding yang lain. Negara maju akan berdepan krisis ekonomi yang berat apabila seluruh sektor industri hilang atau sukar untuk bertahan akibat kerugian besar. Negara lain yang kurang bergantung kepada internet mungkin tidak menerima kesan langsung yang sama, tetapi tetap terjejas apabila perdagangan dan bantuan dari negara-negara yang lebih bergantung kepada internet berkurangan.
Seiring perkembangan teknologi, kebanyakan negara bergantung pada internet untuk mengumpul risikan, memantau ancaman keselamatan dan menyalurkan maklumat antara agensi pertahanan. Jika internet lenyap, operasi perisikan moden akan terjejas teruk kerana banyak sistem komunikasi rahsia dan rangkaian maklumat bergantung kepada talian digital.
Selain itu, perkongsian maklumat antara negara akan menjadi perlahan dan sukar, menyebabkan kelewatan dalam tindakan strategik. Dalam keadaan tidak menentu seperti ini, sesetengah kerajaan mungkin membuat keputusan tergesa-gesa disebabkan maklumat yang tidak lengkap.
Walaupun sukar meramal tindak balas setiap negara, keadaan ini berpotensi meningkatkan ketegangan politik, salah faham diplomatik dan risiko konflik serantau.
Internet merupakan gedung maklumat yang amat luas, membolehkan orang ramai mengakses berita, penyelidikan dan ilmu dari seluruh dunia
Ketiadaannya akan mewujudkan kekosongan maklumat, menjadikan masyarakat sukar mengikuti perkembangan semasa dan kemajuan dalam pelbagai bidang.
Ketika ini, perpustakaan dan media cetak akan kembali menjadi sumber utama, namun ia masih tidak mampu menandingi keluasan, kepantasan dan kedalaman maklumat yang tersedia dalam talian.
Rangkaian nternet ialah pemacu utama perkembangan dan inovasi teknologi. Tanpanya, pembangunan teknologi baharu serta penerapan kecerdasan buatan dalam kehidupan seharian akan menjadi perlahan.
Penyelidikan saintifik, kolaborasi, dan penyebaran penemuan baharu juga akan terjejas dengan serius, sekali gus menghalang kemajuan teknologi secara keseluruhan.
Natijahnya, banyak kesan buruk yang berisiko berlaku jika dunia tidak lagi dapat mengakses internet. Walaupun lenyapnya internet adalah situasi yang dirasakan tidak mungkin berlaku, adalah penting untuk kita memahami potensi impaknya.
Internet telah menjadi batu asas masyarakat moden, membentuk cara kita berkomunikasi, bekerja, belajar dan berhibur.
Menyedari kemungkinan akibat kehilangan internet mengingatkan kita tentang betapa pentingnya teknologi ini dan keperluan untuk terus melindungi serta mengekalkannya ketika kita mengharungi dunia digital yang semakin saling berkait.
Sumber: Elite Group, howstuffworks, Medium