KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperluas inisiatif pengumpulan data pengalaman pengguna Internet ke seluruh negara bagi mengenal pasti kawasan memerlukan penambahbaikan kualiti perkhidmatan termasuk lokasi yang tiada dalam pemetaan ujian sedia ada.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya berkata inisiatif Bulan Speed Test Selangor 2026 dari 16 Sept hingga 15 Okt berjaya mengesan kawasan yang mempunyai kualiti perkhidmatan Internet kurang memuaskan berdasarkan ujian sebenar pengguna.
“Dapatan itu akan dianalisis dan dijadikan asas perbincangan dengan penyedia perkhidmatan bagi melaksanakan tindakan penambahbaikan segera di lokasi terlibat,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Bulan Speed Test Selangor 2026: Daripada Data Kepada Tindakan” pada Jumaat.
Bukhari berkata ujian yang dilakukan pengguna turut membantu MCMC mengetahui perbezaan antara liputan yang dipaparkan dalam analisis komputer dengan pengalaman sebenar di lapangan, antaranya disebabkan faktor geografi dan halangan fizikal seperti pokok tebal.
Beliau berkata walaupun sesuatu kawasan mempunyai liputan Internet, kelajuan perkhidmatan yang diterima pengguna mungkin tidak mencapai standard mandatori kualiti perkhidmatan (MSQoS) yang ditetapkan MCMC.
Sehubungan dengan itu, penyertaan orang ramai melalui aplikasi MCMC Nexus yang dibangunkan suruhanjaya itu dan dilancarkan pada Mac lepas amat penting kerana melengkapi pemantauan sedia ada yang dilaksanakan pegawai MCMC di lokasi seperti kawasan kegiatan ekonomi utama dan perindustrian.
“Contohnya doktor yang menggunakan Internet di dalam hospital, guru yang menggunakan PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) atau peniaga kerana sekarang ramai tidak membawa wang tunai untuk membeli atau menjual dan menggunakan kod QR untuk membuat pembayaran,” katanya.
Bukhari berkata data ujian yang dikumpul bersifat anonim dan MCMC hanya mengambil keputusan ujian tanpa merekodkan maklumat peribadi pengguna, justeru orang ramai tidak perlu bimbang untuk menggunakan aplikasi tersebut.
Beliau berkata inisiatif itu berpotensi untuk diperluas ke seluruh negara dengan lokasi pelaksanaan seterusnya dipilih berdasarkan faktor bentuk muka bumi yang mencabar atau negeri yang mempunyai kawasan ekonomi berimpak tinggi.
Selain itu, Bukhari berkata data tersebut membantu MCMC meneliti keperluan liputan Internet di pusat mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kawasan pelancongan baharu serta laluan jalan raya, selaras dengan inisiatif penyediaan Internet di bawah inisiatif “Di mana Ada Jalan Di situ Ada Internet” dilancarkan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sementara itu, Pengarah MCMC Negeri Selangor Amal Abdul Aziz dalam program sama berkata inisiatif tersebut merekodkan hampir 100,000 ujian kelajuan Internet sepanjang sebulan pelaksanaannya di negeri itu.
Beliau berkata hampir 30,000 penyertaan pertandingan direkodkan melibatkan 1,746 peserta dengan setiap peserta secara purata melakukan 17 ujian dalam tempoh itu.
Pemilihan Selangor sebagai lokasi pertama, menurut beliau kerana mempunyai jumlah penduduk dan pengguna Internet yang tinggi selain merangkumi pelbagai persekitaran penggunaan termasuk institusi pendidikan, kawasan perumahan dan sektor perindustrian.
Amal berkata sesi libat urus bersama dengan agensi kerajaan, penghulu serta ketua kampung turut dilaksanakan bagi menggalakkan penyertaan penduduk di kawasan kampung, lorong dan pedalaman.
Beliau berkata menerusi program itu, MCMC berjaya memperoleh data daripada hampir 1,200 lokasi baharu yang sebelum ini tidak pernah menjalani ujian kelajuan Internet, membolehkan keadaan liputan di kawasan terbabit dikenal pasti untuk tindakan lanjut bersama dengan penyedia perkhidmatan.


