Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Wanita AS Dedah 9 Perkara Yang Buatkan Malaysia ‘Menang’ Berbanding Negaranya
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Meski Malaysia belum bergelar negara maju, tetap banyak nikmat dan kemajuan yang wajar kita syukuri.
Kadang kala kita merasakan bahawa negara luar lebih baik berbanding negara sendiri. Namun, ada orang-orang dari luar negara yang merasakan sistem atau amalan di Malaysia lebih baik dari negara mereka.
Bercakap mengenainya, baru-baru ini seorang wanita dari Amerika Syarikat (AS) berkongsi beberapa perkara yang sangat ‘masuk akal’ di Malaysia berbanding negaranya.
“Selepas tinggal di sini, saya perasan banyak sistem harian yang memang masuk akal, terutamanya ciri-ciri keselamatan,” katanya di ruangan kapsyen.
Menerusi perkongsian di TikTok, Holly East berkata kebanyakan rumah atau premis bisnes di negara ini kekal bersih kerana tidak memakai kasut di dalam rumah.
“Bila sudah terbiasa, anda akan rasa tidak kena bila pakai kasut dalam rumah,” katanya.
Semua urusan di Malaysia, sama ada melibatkan doktor, sekolah hingga ke penghantaran makanan dilakukan menggunakan aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, perkara itu disukainya kerana dia tidak perlu membuat panggilan untuk menetapkan temujanji.
Malaysia ada zon tempat letak kereta untuk wanita sahaja, ada butang minta bantuan di taman dan pengawal keselamatan yang menjamin keselamatan semua orang.
“Di sini, keselamatan memang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, bukan sesuatu dianggap remeh,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sistem penghantaran makanan dan barangan di Malaysia juga sangat efisien. Dia tidak perlu pening kepala jika barang dapur sudah habis kerana boleh menggunakan khidmat penghantaran walaupun last minute.

Dengan kepelbagaian agama dan banyak cuti umum, setiap perayaan diraikan bersama. Jalan raya, pusat beli-belah dan pejabat turut berubah mengikut suasana perayaan.
Tidak seperti di AS yang masih mengamalkan pemberian tip secara tunai, pelanggan di Malaysia tidak perlu memberi tip tambahan. Caj perkhidmatan biasanya sudah termasuk dalam bil dan pelanggan hanya perlu membuat pembayaran seperti biasa sebelum beredar.
Kedai makan, pasar raya, farmasi dan banyak lagi premis beroperasi sehingga lewat malam, menjadikan urusan harian jauh lebih fleksibel bagi orang ramai.

Sistem scan and go sudah menjadi kebiasaan di sini, malah pasar kecil sekali pun menerima pembayaran melalui kod QR.
Ujarnya, masyarakat di sini lebih menerima gaya hidup yang tenang dan tidak terlalu tergesa-gesa.
Tahap kesabaran juga lebih tinggi dan kecekapan melampau bukanlah satu keperluan. Keadaan ini membolehkan orang ramai meluangkan masa untuk bertegur sapa dan berinteraksi, berbeza dengan budaya serba pantas seperti di Amerika Syarikat.
Sumber: Holly East