Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bangunan Kediaman Hong Kong: Angka Korban Meningkat Kepada 44 Orang, 3 Ditahan Polis

Athirah
hong kong terbakar
Kredit: SCMP

Bangunan Kediaman Hong Kong: Angka Korban Meningkat Kepada 44 Orang, 3 Ditahan Polis

Sekurang-kurangnya 44 orang dilapor maut dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan beberapa blok kediaman bertingkat tinggi di daerah Tai Po, Hong Kong.

Menurut portal BBC, terdapat laporan bahawa sebahagian penduduk terperangkap di dalam bangunan berkenaan, manakala polis mengesahkan 279 orang masih hilang.

Lebih 760 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran itu pada petang Rabu, dengan beberapa gambar menunjukkan api marak serta asap kelabu tebal menjulang dari menara berkenaan sehingga menguasai latar langit bandar itu.

Menurut laporan media tempatan, tiga lelaki telah ditahan atas dakwaan menyebabkan kematian tanpa niat susulan insiden tersebut dan siasatan telah dijalankan.

Difahamkan, kebakaran itu dilapor bermula di kompleks perumahan Wang Fuk Court kira-kira jam 2.51 petang (waktu tempatan) dan diklasifikasikan sebagai tahap lima, iaitu tahap paling tinggi oleh jabatan bomba pada jam 6 petang (waktu tempatan).

Punca kebakaran masih belum diketahui

Bagaimanapun, punca kebakaran masih belum diketahui, namun api dipercayai merebak dengan cepat melalui perancah buluh yang melitupi bahagian luar bangunan yang sedang menjalani kerja pengubahsuaian.

Seorang anggota bomba turut termasuk antara 44 mangsa yang terkorban, manakala 45 lagi dalam keadaan kritikal di hospital.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Bomba, Derek Armstrong Chan berkata, beliau merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada mangsa yang terkorban.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan simpati kepada keluarga mangsa dan mereka yang cedera, sambil menegaskan bahawa segala bentuk bantuan yang diperlukan akan disediakan.

“Suhu di dalam bangunan sangat tinggi, sekali gus menyukarkan pihak bomba untuk memasuki bangunan dan naik ke tingkat atas bagi menjalankan operasi pemadaman serta menyelamat,” ujarnya lagi.

BBC melaporkan usaha menyelamat sukar dilaksanakan akibat haba melampau dan serpihan berbahaya.

Kebakaran itu masih belum dapat dipadamkan, manakala pihak berkuasa memaklumkan mereka tidak pasti bila ia dapat dikawal sepenuhnya.

BACA: “Boleh Rosakkan…” Mat Saleh Kongsi Pengalaman, Dedah Sebab Tak Perlu Lawat Malaysia

Sumber: BBC