Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Waspada Hujan Ekstrem, Ribut Tropika Senyar Dikesan Di Selat Melaka

Azizah Najib
ribut senyar aceh
Kredit: CNN Indonesia

Indonesia Waspada Hujan Ekstrem, Ribut Tropika Senyar Dikesan Di Selat Melaka

JAKARTA — Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) melaporkan Ribut Tropika Senyar berisiko melanda Aceh dalam tempoh 24 jam selepas dikesan di Selat Melaka, lapor CNN Indonesia pada Rabu.

Perkara itu disahkan Pengarah BMKG, Teuku Faisal Fathani berdasarkan analisis atmosfera yang dijalankan pada jam 7 pagi waktu tempatan.

“Berdasarkan analisis atmosfera setakat Rabu, 26 November 2025, jam 7 pagi, sistem (Ribut Tropika 95B) telah mengalami peningkatan dan secara rasmi berstatus sebagai Ribut Tropika Senyar yang ketika ini dipantau berada di perairan Selat Melaka, Timur Aceh,” maklum beliau.

Difahamkan, Ribut Tropika Senyar ketika itu berada di 5 darjah Latitud Utara dan 98 darjah Longitud Timur, dengan tekanan udara minimum di pusat mencapai 998 hektopascal (hPa).

Ribut berkenaan bergerak dengan kelajuan angin maksimum sekitar 80 kilometer per jam(km/j).

Tambahnya, ribut tropika tersebut dikesan bergerak ke arah Barat sejak 6 jam lalu ketika laporan berkenaan disiarkan, menuju ke kawasan dataran Aceh dengan kelajuan kira-kira 10 km/j, sekali gus mencetuskan pembentukan awan konvektif di sekelilingnya.

Keadaaan ini mengakibatkan cuaca buruk diramal berlaku di kawasan dilalui ribut berkenaan.

Tambahnya, Aceh dan Utara Sumatera berpotensi mengalami hujan lebat sehingga tahap buruk berserta angin kencang.

Bekalan wap air di perairan Selat Melaka yang panas serta penumpuan angin di Utara Sumatera difahamkan mempengaruhi awan hujan yang terbentuk di kawasan tersebut.

“Dalam tempoh enam jam akan datang, Ribut Tropika Senyar diramal akan terus bergerak mendekati pantai Aceh dan berkemungkinan mendarat,” katanya.

Ribut berkenaan dijangka terus bergerak ke arah Barat dan Barat Daya dalam tempoh enam hingga 24 jam di daratan dan dijangka melemah.

Walau bagaimanapun, cuaca buruk ini turut berpotensi mengakibatkan bencana seperti banjir, banjir kilat dan tanah runtuh dan ombak setinggi 2.5 hingga 4 meter di utara Selat Melaka, perairan Aceh dan Lautan Hindi Barat dari Aceh ke Nias.

Manakala ombak sederhana setinggi 1.25 hingga 2.5 meter pula dijangka di tengah Selat Melaka, perairan Sumatera Utara dan perairan Rokan Hilir.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai khususnya di Aceh, Sumatera Utara, Kepulauan Riau dan Sumatera Barat serta kawasan sekitar agar kekal berwaspada dalam dua hingga tiga hari ini.

“Memandangkan terdapat potensi cuaca ekstrem, BMKG menggesa kerajaan tempatan di kawasan terjejas untuk meningkatkan kesiapsiagaan terhadap potensi banjir, banjir pesisir pantai, tanah runtuh dan pokok tumbang akibat angin kencang.

“Nelayan dan pengendali pengangkutan maritim diminta untuk berwaspada terhadap ombak besar yang berpotensi mengganggu keselamatan pelayaran, terutamanya di Selat Melaka dan sekitarnya,” ujar Faisal.

BACA: Penduduk Kampung Limau Kasturi Diingatkan Segera Berpindah, Paras Sungai Galas Meningkat

BACA: Peka, Ini Senarai Talian Khas Bencana Banjir Bagi Petani Terjejas

BACA: Lapan Kru Hilang, Bot Pancing Karam Di Perairan Pulau Perak

Sumber: CNN Indonesia