Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ribut Tropika Senyar: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Hannah
ribut tropika senyar

Ribut Tropika Senyar: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Negara dikejutkan dengan perkembangan terbaharu apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan Ribut Tropika Senyar dijangka melanda kawasan sempadan Perak–Selangor bermula tengah malam ini.

Fenomena yang jarang berlaku di rantau kita ini sekali lagi mencuri perhatian seluruh negara kerana potensi membawa hujan lebat, angin kencang dan keadaan laut bergelora.

Persoalannya, apa yang kita ketahui setakat ini?

Kenapa Senyar digelar ‘singa’?

Untuk makluman, penamaan siklon di Lautan Hindi Utara ditadbir oleh Panel Siklon Tropika WMO/ESCAP yang dianggotai oleh 13 negara. Setiap negara menyediakan senarai nama yang bersifat neutral, mudah disebut dan biasanya tidak melebihi lapan huruf.

Sebuah sistem cuaca hanya menerima nama rasmi selepas anginnya melepasi kelajuan 34 knot (62 km/j). Nama-nama ini digunakan mengikut turutan dalam senarai yang telah ditetapkan. Selain itu, setiap nama yang telah digunakan akan digugurkan bagi mengelakkan pengulangan pada masa hadapan.

Dalam senarai semasa, “Senyar” merupakan nama yang berada seterusnya dalam giliran. Nama ini diberikan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan membawa maksud ‘singa’, dikatakan simbol kekuatan serta ketabahan.

Korban & kerugian di rantau ASEAN

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 107 kematian dilaporkan di beberapa negara ASEAN. Kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi AS$366 juta.

Fenomena cuaca yang jarang berlaku

Taufan Senyar atau ‘Singa’ terbentuk di Selat Melaka pada 26 November 2025. Ia muncul di kawasan Selat Melaka, lokasi berhampiran khatulistiwa yang jarang mengalami pembentukan sistem ribut tropika.

Untuk info, meski Malaysia terletak berhampiran garisan khatulistiwa dan lazimnya berada di luar laluan utama ribut tropika, negara pernah dilanda dua ribut tropika secara langsung, iaitu Ribut Tropika Greg pada 26 Disember 1996 di barat Sabah dan Ribut Tropika Vamei pada 26 Disember 2001 di selatan Semenanjung.

Kedudukan & pergerakan terkini

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan bahawa Ribut Tropika SENYAR yang dikesan di perairan Selat Melaka dijangka bergerak menghampiri negara kita.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tersebut kini berada pada kedudukan Latitud 3.6° Utara dan Longitud 100.4° Timur.

Ia dijangka bergerak ke arah timur pada kelajuan 9 km/j serta mampu mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 km/j.

Selain itu, keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia sehingga 29 November 2025.

METMalaysia juga menjangkakan bahawa hujan berterusan akan membawa sekurang-kurangnya 200 hingga 300 milimeter (mm) hujan ketika ribut berlaku.

Perkembangan terkini turut menyaksikan MET Malaysia mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora melibatkan beberapa kawasan.

Ini termasuk negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November 2025.

Kredit: BERNAMA

Garis masa penting

  • 22 November: Sistem tekanan rendah dikesan di Selat Melaka.

  • 26 November: Ribut mula mendarat di Langsa, Aceh (Sumatera).

  • 26–27 November: Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

  • 27–29 November: Amaran hujan berterusan dikeluarkan bagi Selangor dan negeri-negeri berhampiran.

Kesan yang mungkin berlaku di Malaysia

1. Banjir

  • Kawasan utara Semenanjung dijangka paling terjejas.

  • Banjir setempat berpotensi berlaku di Selangor, termasuk di sekitar Sekinchan.

2. Pengangkutan & Aktiviti Laut

  • Operasi feri dan bot kecil dihentikan buat sementara waktu.

  • Ombak dijangka boleh mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Langkah keselamatan untuk orang awam

  • Elakkan sebarang aktiviti di kawasan pantai, sungai dan perairan.

  • Ikuti maklumat terkini melalui MET Malaysia, aplikasi myCuaca, atau hotline 1-300-22-1638.

  • Sediakan kit kecemasan, barang keperluan asas dan patuhi arahan pemindahan jika diarahkan.

BACA: Solat Hajat Khas Esok Di Semua Masjid, Surau Jumaat JAKIM Dan JAWI

Sumber: METMalaysia, Astro Awani