Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Boleh Masuk & Tengok Bulan, 6 Sebab Baitul Hilal Di Negeri Sembilan Buat Orang Datang Berkali-kali
Pejam celik-pejam celik dah hujung tahun 2025, tak terasa masa berlalu begitu pantas. Sebut pasal hujung tahun, tak lama lagi cuti sekolah dah nak mula.
Pasti ramai yang dah mula “aim” tempat-tempat menarik di seluruh negara untuk bercuti bersama keluarga, pasangan mahupun rakan-rakan.
Kena dengan waktunya, jadi min nak bagitau korang yang tengah tercari-cari tempat untuk dilawati tu.
Di Negeri Sembilan ada satu hidden gems yang ramai tak tahu lagi iaitu Balai Cerap Negeri Sembilan.
Mesti ramai yang terpinga-pinga kan? Kalau korang nak tahu, di sinilah para ahli astronomi berkumpul untuk melakukan cerapan di langit atau angkasa seperti melihat anak bulan.
Jadi, meh min share sebab apa ramai kaki melancong rugi bila terlepas pandang port menarik ini di bawah.
Terletak di Teluk Kemang, Port Dickson, Balai Cerap Negeri Sembilan atau Kompleks Baitul Hilal ini merupakan salah satu destinasi utama astro-pelancongan bagi para peminat astronomi terutamanya buat mereka yang ingin menerokai keajaiban langit malam.
Ia bukan sahaja menjadi pusat cerapan namun menawarkan pengalaman kepada pengunjung untuk menyaksikan panorama angkasa lepas, bermula dari Bulan, planet hinggalah bintang-bintang yang terletak jutaan tahun cahaya dari Bumi.
Lagi-lagi kalau korang nak tahu, dekat sini adanya teleskop terbesar di Malaysia. Mari min kongsikan dengan lebih terperinci apa yang ada di sini.
Galeri Utama

Dekat sini, pengunjung dapat merasai pengalaman yang menggabungkan elemen pembelajaran dan hiburan melalui pameran astronomi dan sains angkasa yang menarik.
Ruang ini membawa pengunjung menerokai sejarah penubuhan balai cerap, termasuk detik penting dan sumbangannya dalam bidang astronomi Malaysia.
Selain itu, ia juga mempamerkan seksyen meteorit dengan sampel sebenar serta maklumat mengenai asal-usul, jenis dan kesan terhadap Bumi.
Pelawat juga dapat menikmati pameran menyeluruh mengenai sistem suria, lengkap dengan visual interaktif yang menerangkan ciri-ciri planet, bulan, dan objek-objek cakerawala lain.
Bahagian eksplorasi angkasa pula membawa pengunjung menelusuri sejarah berkaitan angkasawan pertama Malaysia dan teleskop angkasa.
Bilik Teater

Bilik Teater juga merupakan salah satu tarikan utama di Balai Cerap Negeri Sembilan.
Pelawat yang datang akan diberikan pendedahan mengenai sejarah tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang berperanan dalam perkembangan ilmu falak dan astronomi.
Bilik ini juga dilengkapi dengan paparan peta langit interaktif yang membolehkan pengunjung mengenali buruj dan objek langit malam dengan lebih dekat.
Ruang ini biasanya digunakan untuk pembentangan dan sesi taklimat berkumpulan, ceramah atau bengkel dalam skala kecil iaitu 25 orang dalam satu-satu masa.
Bilik Cerapan Hilal

Bilik Cerapan Hilal kalau korang nak tahu ia merupakan ruang khas untuk memperkasa tentang bulan dan kepentingan cerapan hilal dalam ilmu falak Islam.
Di dalam bilik ini, terdapat pelbagai infografik yang menerangkan konsep anak bulan (hilal), kriteria anak bulan dan juga paparan menarik berkaitan gerhana matahari dan gerhana bulan.
Antara kemudahan utama bilik ini ialah anjung cerapan terbuka yang digunakan semasa sesi cerapan rasmi hilal, khususnya untuk penentuan bulan-bulan Hijri seperti Ramadan dan Syawal.
Anjung ini dilengkapi dengan satu teleskop Al-Biruni, dinamakan sempena tokoh ilmuwan Islam terkenal. Bilik ini turut menyediakan ruang santai untuk pelawat.
Kubah Suria

Dekat sini, ada teleskop khas yang boleh rakam tompok suria, kembungan (prominence) dan nyalaan suria (solar flare) yang digunakan oleh astronomi.
Bagaimanapun,i semua cerapan mengikut keadaan cuaca. Kalau hujan renyai pun, kubah akan terus ditutup atas faktor keselamatan.
Menariknya, kubah ini juga dilengkapi dua binokular dan sebuah jam matahari.
Anjung Tinjau

Anjung Tinjau adalah ruang cerapan tertutup yang terletak di tingkat lima bangunan balai cerap.
Pada waktu siang, ruang ini sebenarnya menyajikan pemandangan Selat Melaka terus dari tingkap besar.
Ruang ini juga sememang sesuai untuk belajar tentang bintang, planet dan sejarah astronomi dengan cara yang santai.
Kubah Utama

Bukan calang-calang, dekat sini adanya teleskop terbesar di Malaysia, dengan kanta sebesar 24 inci (61 cm), yang diimport dari Amerika Syarikat.
Teleskop ini boleh cerap permukaan Bulan dan planet dengan sangat jelas. Dalam kubah ini juga ada skrin LED untuk sesi perkongsian ringkas bersama pengunjung.
Tempahan & Lawatan
Mesti selama ini ramai yang ingatkan tempat khas ini hanya untuk ahli astronomi sahaja kan?
Tapi, sebenarnya orang awam pun dialu-alukan, lagi-lagi kalau korang yang jenis minat dengan dunia bintang, planet dan segala benda pasal angkasa.
Untuk tempahan, mudah je. Korang hanya perlu pilih tarikh dan masa yang sesuai, isi maklumat dan lengkapkan segala butiran.
Kemudian hantar tempahan untuk pengesahan. Bagi tempahan berkumpulan melebihi 20 orang, boleh hubungi melalui e-mel di [email protected] atau di talian Whatsapp 010-2664506.
Tunggu apa lagi, cuti sekolah dah nak mula ni, baik korang pilih tarikh siap-siap takut slot dah habis.
Untuk maklumat lanjut mengenai waktu operasi dan harga tiket, boleh layari laman web rasmi Balai Cerap N9 di https://balaicerapn9.com/ atau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).