Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Pelancong Dedah ‘Realiti’ Lepas 9 Hari Lawat 9 Tempat Di Malaysia

Hannah
realiti pelancong malaysia
Gambar: AFP

Pelancong Dedah ‘Realiti’ Lepas 9 Hari Lawat 9 Tempat Di Malaysia

Sebelum kita pergi ke mana-mana destinasi, sudah pasti kita akan buat sedikit ‘homework’, kan? Baca ulasan, tengok video, cari pengalaman orang lain.

Kadang-kadang yang kita jumpa positif, kadang-kadang pula sebaliknya. Tapi, bukankah lebih baik untuk rasai pengalaman sebenar dan nilai sendiri? Orang cakap, “tak kenal maka tak cinta”.

Itulah yang terjadi kepada seorang pelancong luar negara yang pada awalnya ragu-ragu untuk datang ke Malaysia.

“Selepas baca banyak ulasan dan tengok video di internet, saya sebenarnya rasa ragu untuk datang ke Malaysia. Ramai kata negara jiran bagi layanan lebih baik dan harga lebih murah,” katanya.

Tapi, dia akhirnya buat keputusan untuk tetap pilih Malaysia sebagai destinasi percutian. Malah, dia merancang percutian itu selama hampir dua bulan sebelum berangkat.

“Saya beri peluang kepada Malaysia…”

Siapa sangka, dalam masa sembilan hari saja, pelancong ini sempat melawat sembilan lokasi di Semenanjung Malaysia.

Ia meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, George Town, Pulau Pinang, Langkawi, Ipoh, Cameron Highlands dan Pulau Perhentian.

Pengangkutan

Katanya, perjalanan dari satu tempat ke tempat lain sangat mudah.

“Untuk bergerak dari satu negeri ke negeri lain, saya naik kapal terbang domestik dan bas. Dalam bandar pula, saya gunakan pengangkutan awam atau Grab.

“Semuanya sangat teratur. Setiap stesen ada kod QR, dan hampir semua tiket boleh ditempah terus melalui aplikasi seperti AirAsia, Grab, RedBus dan Easybook,” katanya.

Penginapan

Bercakap soal penginapan, dia berkongsi memilih menginap di beberapa hotel bajet dan semuanya memuaskan.

“Saya menginap di beberapa hotel bajet dan semuanya memang berbaloi dengan harga yang saya bayar.

“Penyambut tetamu dan staf hotel sangat mesra dan sentiasa membantu. Bilik pun selesa, cuma ada masalah kecil yang masih boleh diterima.

“Saya membuat tempahan melalui Agoda dan Booking.com, dan proses daftar masuk di hampir semua hotel sangat mudah dan lancar,” katanya.

Aktiviti

Katanya lagi, dia berpeluang melawat pelbagai lokasi menarik dan menyertai beberapa lawatan berpandu sepanjang berada di Malaysia.

“Terus terang, perjalanan saya dipenuhi aktiviti yang lasak dan sangat menyeronokkan. Saya buat island hopping, snorkeling, masuk gua dan tengok hidupan liar. Malaysia memang ada banyak pilihan untuk sesiapa yang suka aktiviti luar dan pengembaraan.

“Pemandu pelancong yang saya jumpa pula sangat berpengetahuan dan fasih, jadi setiap lawatan jadi lebih mudah dan menarik. Kebanyakan aktiviti saya tempah melalui aplikasi Klook dan Agoda, manakala selebihnya melalui laman rasmi penganjur,” katanya.

Di sisi lain, dia turut mengakui sedikit terkejut dengan kadar bayaran untuk pelancong antarabangsa yang hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding rakyat tempatan.

Namun baginya, ia masih berbaloi kerana pengalaman yang diperoleh jauh melebihi harga yang dibayar.

Makanan

“Sebagai pencinta makanan, saya suka cuba hidangan tempatan dan Malaysia memang tidak mengecewakan,” katanya bercakap soal makanan di negara kita.

“Daripada kira-kira 25 jenis hidangan yang saya cuba, lebih 15 daripadanya benar-benar menjadi kegemaran saya. Pasar makanan tepi jalan pun banyak pilihan menarik, tetapi saya lebih suka makan di restoran tempatan yang menyajikan makanan autentik dengan harga berpatutan.

“Semuanya sangat sedap. Hidangan kegemaran saya ialah Nasi Lemak kerana ia ada pelbagai jenis dan kombinasi,” tambahnya.

“Silap saya…”

Dalam pada itu, dia mengakui ada satu kesilapan kecil yang dibuatnya semasa bercuti di Malaysia.

“Satu silap saya ialah tidak mengambil kira faktor cuaca. Berbeza dengan negara lain, cuaca di Malaysia berbeza mengikut kawasan. Ada tempat yang hujan, sementara tempat lain panas dan lembap. Jadi, saya menyarankan pelancong untuk sentiasa menyemak ramalan cuaca,” kongsinya.

Kesimpulannya, pelancong ini sangat berpuas hati dengan pengalaman bercutinya di Malaysia.

“Apabila dikenang kembali, pengalaman yang saya peroleh jauh lebih berharga daripada apa yang saya bayar. Saya amat mengesyorkan sesiapa yang datang ke Malaysia untuk meneroka seluruh negara, bukan hanya berada di Kuala Lumpur.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas pengalaman yang begitu indah ini,” tulisnya lagi.

BACA: Komen ‘Orang Luar’ Pasal Malaysia Curi Perhatian

Sumber: Pirate_Horizon/Reddit