Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Di Sebalik Tabir: Realiti Bapa “Sporting” Jadi Inspirasi Watak Papa Zola

Azizah Najib
inspirasi watak papa zola
Kredit: Monsta

Di Sebalik Tabir: Realiti Bapa “Sporting” Jadi Inspirasi Watak Papa Zola

Di sebalik gelak tawa dan aksi penuh warna, Papa Zola The Movie berjaya menyentuh emosi penonton dengan memaparkan sisi realiti kehidupan seorang bapa.

Tanpa disedari, ramai penonton dewasa, khususnya mereka yang sudah berkeluarga, tersentuh hati selepas menonton filem yang meraih lebih RM10 juta selepas empat hari ditayangkan.

Dengan penghasilan filem berkenaan, syarikat animasi 3D, Monsta Studios melangkaui kebiasaan dengan menaikkan watak sampingan menjadi wira di hati penonton.

Biarpun dihasilkan sebagai sebuah animasi yang lazimnya lebih sinonim dengan dunia kanak-kanak, namun filem ini lebih menyelami dunia golongan dewasa.

Ketika ditanya SK berkenaan penghasilan watak Papa Zola, Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nizam Abdul Razak yang juga Pengarah serta pelakon suara watak utama ini, mengakui inspirasi watak diambil secara umum daripada kaum lelaki di Malaysia.

“Papa Zola diinspirasikan daripada figura bapa-bapa yang berfikiran terbuka di luar sana. Elemen dad jokes Papa Zola juga diinspirasikan daripada realiti kehidupan para bapa,” katanya, memulakan perbualan.

Kredit: Monsta

Permulaan sebuah watak

Bermula daripada watak sampingan dalam siri BoBoiBoy Musim Pertama pada 2011, pasukan kreatif memutuskan untuk watak Papa Zola dikekalkan bagi mewujudkan watak dewasa yang lebih dekat dan relevan dengan penonton dewasa.

“Namun, dalam BoBoiBoy Movie 2, Papa Zola dilihat terlalu komikal, menyebabkan sebahagian peminat kurang berpuas hati dan mahukan penceritaan yang lebih matang.

“Susulan itu, kami mengambil keputusan untuk menghentikan kemunculan Papa Zola dalam siri BoBoiBoy,” kongsi beliau.

Berikutan masih ramai peminat yang ‘merindui’ watak ini, siri pendek Papa Pipi dihasilkan, gandingan Papa Zola bersama anaknya, Pipi Zola.

Tanpa diduga, siri pendek ini mendapat tontonan melebihi 5 bilion, termasuk sebuah video yang mencapai 685 juta tontonan.

“Gabungan data tontonan, sambutan penonton dan potensi penceritaan meyakinkan pasukan kreatif bahawa Papa Zola sudah bersedia diangkat ke layar perak sebagai filem aksi dan emosi,” jelas Nizam.

Lantaran itu, terhasillah satu filem khas untuk watak ini, Papa Zola The Movie.

Filem ini turut menjawab persoalan para peminat yang rata-rata tertanya-tanya sama ada watak ini benar-benar berasal dari dunia permainan.

Kredit: Monsta

Perkembangan watak

Menyentuh topik watak sampingan yang diangkat menjadi watak utama dalam filem ini, Papa Zola lebih menonjol dari segi emosi dan aksi berbanding komedi.

Tambah Nizam, filem ini lebih bertumpu kepada kisah silam dan asal usul Papa Zola.

“Penonton akan melihat sisi Papa Zola sebagai seorang ayah yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi keluarganya,” maklumnya.

inspirasi watak papa zola
Kredit: Monsta

World building

Mengulas lanjut, Nizam akui world building filem ini mempunyai perbezaan berbanding siri berikutan latar tempat yang lebih bertumpu kepada apa yang berlaku di Bumi.

Menurut beliau, BoBoiBoy lebih dekat dengan Mechamato dan kewujudan planet-planet lain.

“Dalam siri BoBoiBoy, world building Papa Zola agak terhad. Namun filem ini membuka ruang untuk pengembangan lebih luas. Contohnya, peranan P.A.P.A. (Protect and Prevent Agency) boleh dibandingkan dengan TAPOPS dan Maskmana.

“Selepas menonton filem ini, penonton dijangka akan lebih tertanya-tanya tentang hubungan antara Papa Zola, BoBoiBoy, Mechamato dan Maskmana,” ujarnya.

Kredit: Monsta

Trivia

Dalam pada itu, SK sempat bertanya beberapa perkara mengenai filem Papa Zola The Movie yang mungkin tidak pernah diketahui peminat sebelum ini.

Mengimbau kembali ketika skrip dikarang dan animasi dijana, terdapat dua babak yang paling rumit buat pasukan Monsta untuk dihasilkan.

Babak berkenaan merupakan ketika Papa Zola di usia muda dan babak dunia simulasi.

Bagi Nizam, pasukannya menghadapi cabaran untuk menjadikan Papa Zola kelihatan tampan tanpa menjadi watak tampan yang typical.

Dalam masa yang sama, mereka perlu mengekalkan ciri unik Papa Zola iaitu memakai topeng, kening dan misai.

Kredit: Monsta

“Dari segi penceritaan, cabarannya ialah memastikan latar belakang Papa Zola dalam filem tidak bercanggah dengan maklumat yang peminat sudah ketahui sejak 2011.

“Babak dunia simulasi pula begitu mencabar ketika menghasilkan transformasi bandar ke dalam dunia simulasi supaya kelihatan lebih spektakular, dengan logik dan visual berteraskan dunia game.

“Dunia simulasi ini perlu terasa lebih ‘wow’ berbanding dunia sebenar, bukan sekadar perubahan visual semata-mata,” ujar beliau.

Katanya, proses tersebut memerlukan beberapa kali semakan dari segi skrip dan animasi. Hal ini bagi memastikan konsep dunia simulasi benar-benar menarik, konsisten dan memberi impak kepada penonton.

Kredit: Monsta

Lebih menarik lagi, terdapat beberapa dialog yang beliau tambah baik sendiri sepanjang melakonkan suara bagi watak Papa Zola.

Dialog Papa Zola, “Game mungkin dah over tetapi kebenaran tak pernah over the game” dimaklumkan tidak terdapat dalam skrip asal. Dialog ini ditambah semasa sesi rakaman suara. Begitu juga dengan dialog “Budak ni lagi” yang ditukar di saat akhir kepada “Budak surau ni lagi”.

“Hashtag, YTJT,” seloroh beliau.

Butiran kecil yang diselit

Sebelum menutup perbualan, Siakap Keli sempat bertanya berkenaan easter eggs yang diselit dalam filem ini. Beliau mengiyakan terdapat banyak butiran kecil yang diselit.

“Termasuk watak cameo dan butiran kecil berkaitan Papa Zola dan Mama Zila. Kita jangka, tidak semua butiran ini dapat dikesan oleh penonton dalam masa terdekat,” tutupnya.

Di sebalik animasi yang dipersembahkan, tersimpan usaha panjang dan dedikasi pasukan produksi yang jarang dilihat. Bukan sekadar menghiburkan, Papa Zola The Movie merupakan hasil kerja keras sebuah pasukan yang menghidupkan setiap watak di layar perak.