Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelepasan Cukai Individu 2025: Panduan dan Senarai Lengkap
Setiap tahun, rakyat Malaysia berpeluang memanfaatkan pelbagai pelepasan cukai untuk mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar.
Bagi tahun taksiran 2025, terdapat pelbagai kategori pelepasan cukai yang disediakan khusus untuk individu, pasangan, anak-anak, gaya hidup, pendidikan, kesihatan serta perlindungan kewangan.
Memahami senarai pelepasan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang malah membantu merancang kewangan keluarga dengan lebih bijak.
Dari pendidikan dan rawatan perubatan sehinggalah perbelanjaan gaya hidup sihat dan simpanan untuk masa depan, setiap pelepasan cukai mempunyai tujuan tersendiri untuk meringankan beban kewangan.
Artikel ini akan menyediakan panduan lengkap bagi semua pembayar cukai agar tidak terlepas peluang menuntut potongan yang sah. Ianya sekaligus dapat memastikan manfaat maksimum daripada cukai yang dibayar.
Dengan panduan ini, anda akan dapat mengenal pasti setiap kategori pelepasan dengan mudah, menilai kelayakan dan merancang tuntutan cukai secara strategik.
Setiap individu pemastautin layak menuntut pelepasan cukai asas bagi diri sendiri dan tanggungan. Pelepasan ini juga merangkumi pasangan, suami, isteri serta individu kurang upaya. Berikut pecahan pelepasan bagi kategori ini:
Individu dan tanggungan: RM9,000
Suami/isteri atau bayaran alimoni kepada bekas pasangan: RM4,000
Individu kurang upaya: RM7,000
Pasangan kurang upaya: RM6,000
Yuran pengajian sendiri:
Pengajian di peringkat diploma, sijil atau setaraf.
Pengajian di peringkat sarjana atau doktor falsafah.
Kursus peningkatan kemahiran (terhad RM2,000).
Pembayaran faedah pinjaman perumahan untuk rumah pertama:
Rumah dengan harga sehingga RM500,000: pelepasan RM7,000
Rumah dengan harga RM500,000 sehingga RM750,000: pelepasan RM5,000
Pelepasan ini memberi ruang kepada individu yang menumpukan kepada pendidikan atau memiliki kediaman pertama untuk menikmati potongan cukai yang signifikan sekaligus menggalakkan pembangunan diri dan kestabilan kewangan keluarga.
Kerajaan sentiasa mengiktiraf kepentingan kesihatan dalam kehidupan seharian. Pelbagai pelepasan disediakan bagi perbelanjaan perubatan dan keperluan khas:
Untuk diri sendiri, pasangan atau anak: RM10,000
Rawatan penyakit serius
Rawatan kesuburan
Pemeriksaan perubatan (terhad RM1,000)
Rawatan pergigian (terhad RM1,000)
Pemvaksinan (terhad RM1,000)
Diagnosis, intervensi awal, atau pemulihan anak kurang upaya pembelajaran (terhad RM6,000)
Perbelanjaan untuk ibu bapa dan datuk nenek: RM8,000
Rawatan perubatan dan pergigian
Keperluan khas dan penjagaan
Pemeriksaan perubatan penuh dan pemvaksinan (terhad RM1,000)
Peralatan sokongan asas untuk orang kurang upaya: RM6,000
Bagi diri sendiri, pasangan, anak atau ibu bapa
Kategori ini membolehkan pembayar cukai menuntut perbelanjaan yang berkaitan dengan kesihatan. Ianya sekaligus akan meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan rawatan perubatan atau penjagaan khas.
Gaya hidup sihat dan produktif turut diberi perhatian melalui pelepasan cukai. Pelepasan bagi kategori ini termasuk:
Perbelanjaan gaya hidup (untuk diri sendiri, pasangan, atau anak): RM2,500
Pembelian atau langganan bahan bacaan
Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet
Bil langganan internet
Yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri
Pelepasan tambahan (untuk aktiviti sukan): RM1,000
Pembelian peralatan dan aktiviti sukan
Sewaan atau fi kemasukan ke fasiliti sukan
Fi pendaftaran pertandingan sukan
Fi keahlian gimnasium atau latihan sukan
Alat pengecasan kenderaan elektrik dan mesin kompos sisa makanan domestik untuk kegunaan sendiri: RM2,500
Dengan adanya pelepasan ini, kerajaan menggalakkan rakyat menjalani gaya hidup yang lebih sihat, bijak menggunakan teknologi dan mengambil bahagian dalam aktiviti sukan atau pemeliharaan alam sekitar.
BACA : Program Blueprint Selangor: Bantuan Peralatan Peniaga B40
Selain gaya hidup, kerajaan turut memberi galakan untuk memastikan rakyat merancang kewangan dengan bijak melalui pelepasan untuk insurans dan simpanan:
Insurans nyawa dan KWSP: RM7,000
Skim persaraan swasta dan anuiti tertangguh: RM3,000
Simpanan SSPN (Tabung Bersih): RM8,000
Insurans pendidikan dan perubatan: RM4,000
Caruman PERKESO: RM350
Kategori ini memberi ruang kepada rakyat untuk melindungi masa depan dan memastikan kestabilan kewangan melalui pelbagai instrumen simpanan dan perlindungan.
Bagi keluarga yang mempunyai anak, pelepasan cukai turut menyediakan sokongan untuk pendidikan dan penjagaan awal:
Anak di bawah 18 tahun dan belum berkahwin: RM2,000
Anak 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan belajar sepenuh masa (diploma dan ke atas di Malaysia): RM8,000
Anak 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan belajar sepenuh masa (dMatrikulasi/Pra Ijazah/ A-Level di Malaysia): RM2,000
Anak kurang upaya belum berkahwin: RM8,000
Pelepasan tambahan untuk anak kurang upaya 18 tahun ke atas yang belajar sepenuh masa dan belum berkahwin: RM8,000
Yuran taska atau tadika berdaftar (umur 6 tahun ke bawah): RM3,000
Pembelian peralatan penyusuan (untuk ibu, anak kurang 2 tahun, boleh dituntut sekali setiap 2 tahun): RM1,000
Melalui pelepasan ini, keluarga berpeluang mengurangkan kos pendidikan awal dan memastikan anak-anak mendapat sokongan yang mencukupi dari segi pendidikan, penjagaan, dan keperluan kesihatan.
Kesimpulannya, senarai pelepasan cukai 2025 memberikan peluang kepada rakyat untuk merancang kewangan dengan lebih bijak dan menjadikan cukai pendapatan lebih adil dan fleksibel.
Dari pendidikan, kesihatan, gaya hidup, perlindungan kewangan hingga ke sokongan keluarga, setiap pelepasan mempunyai tujuan tersendiri untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Memahami dan menuntut pelepasan ini dengan tepat bukan sahaja mengurangkan beban cukai tetapi juga dapat membantu anda merancang kehidupan dan kewangan keluarga dengan lebih strategik dan terurus.
Sumber : FB LHDNM
BACA : Rahsia Tuala Sentiasa Gebu: 10 Trik Yang Ramai Tak Tahu