Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tiga Negeri Dijangka Hujan Lebat Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang melibatkan tiga negeri sehingga jam 6 petang hari ini.
Menerusi muat naik di laman Facebook jabatan tersebut, ramalan tersebut melibatkan beberapa kawasan daerah di Perak, Sabah dan Sarawak.
“Cuaca di Perak menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Kuala Kangsar. Begitu juga daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar.
“Beralih ke Borneo, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang diramal membadai daerah Sri Aman (Lubok Antu), Miri (Telang Usan) dan Limbang di Sarawak,” maklum jabatan berkenaan.
Sementara itu, cuaca buruk juga dijangka melibatkan daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan) dan Pantai Barat (Papar) di Sabah.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia.
Menerusi muat naik yang lain, MetMalaysia turut mengeluarkan nasihat fenomena garis badai. Fenomena ini boleh mengakibatkan banjir kilat akibat hujan lebat.
“Garis badai ialah kelompok awan ribut petir aktif yang membentuk barisan di laut dan bergerak ke daratan.
“Fenomena ini boleh menyebabkan hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir kilat disertai dengan angin kencang, guruh dan petir,” nasihat jabatan berkenaan.
Antara ciri yang dikenal pasti termasuk terdiri daripada barisan awan ribut petir yang aktif, terbentuk di kawasan laut sebelum bergerak ke arah daratan.
“Barisan ini boleh memanjang sehingga ratusan kilometer dan bertahan selama beberapa jam.
“Ia sering melibatkan kawasan berhampiran laut seperti Pantai Barat Semenanjung Malaysia serta bahagian barat Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Fenomena ini juga dimaklumkan sering berlaku pada waktu pagi dan malam.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar berada di tempat yang selamat jika fenomena tersebut sedang berlaku.