Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir Di Kebanyakan Kawasan Hingga Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan tujuh negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) sehingga 7 malam ini.
Amaran yang dimuat naik di laman Facebook jabatan berkenaan menunjukkan keadaan cuaca di WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya yang bakal dilanda hujan lebat petang ini.
“Keadaan di Kelantan pula menunjukkan hujan lebat melibatkan daerah Kuala Krai.
Begitu juga di Terengganu yang hanya melibatkan daerah Hulu Terengganu.
“Di Pahang, daerah Jerantut dan Maran juga diramal hujan lebat,” maklum MetMalaysia.
Terus ke Selangor, beberapa kawasan dijangka alami hujan lebat iaitu daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
MetMalaysia turut menyenaraikan daerah Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan bakal menerima hujan lebat diikuti ribut petir dan angin kencang.
Beralih pula ke Borneo, daerah Kuching, Serian, Samarahan, Betong (Pusa dan Betong) dan Sarikei (Meradong) di Sarawak bakal mengalami hujan lebat. Begitu juga daerah Sibu, Mukah dan Limbang.
Cuaca di Sabah pula diramal hujan lebat melibatkan daerah Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud). Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat turut tersenarai.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas jabatan tersebut.
Berikutan itu, orang ramai dinasihat mengamalkan langkah berjaga-jaga ketika berada di luar dan elak mengunjungi lokasi berisiko.