Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai Tak Sedar, Pakar Usus Dedah Makanan “Ini” Punca Masalah Pencernaan
Kini, keinginan untuk menikmati makanan ringan telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat moden.
Dalam kesibukan harian, ramai yang menjadikan makanan ringan sebagai pilihan mudah sama ada untuk mengalas perut ketika lapar, menghilangkan rasa bosan, atau melegakan tekanan selepas seharian bekerja.
Namun, tanpa disedari, tabiat pengambilan makanan ringan secara kerap boleh membawa kesan besar terhadap kesihatan tubuh dalam jangka masa panjang.
Kandungan gula, garam dan lemak yang tinggi berpotensi meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung jika tidak dikawal.
Hari ini, SK akan mengupas sebuah perkongsian dari pakar usus tentang makanan yang patut dielakkan ramai dalam portal Parade.
Menurut seorang pakar gastroenterologi dan pakar pencernaan dari Just Answer dalam portal Parade, Dr. Jason Korenblit berharap orang ramai dapat jauhi kerepek ultra proses.
Terutamanya kerepek goreng yang dibungkus dalam beg dengan senarai ramuan yang panjang, termasuk kanji ditapis, minyak industri tiruan, serbuk keju dan bahan pengawet.
“Diet yang tinggi dengan makanan ultra proses sering dikaitkan dengan kesihatan usus yang lebih teruk, penyakit radang usus, sindrom iritasi usus atau IBS, kanser kolorektal, selain obesiti, diabetes dan penyakit jantung,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa jika seseorang mengambil kerepek sekali sekala, ia bukanlah masalah besar. Namun, jika ia dimakan setiap hari, ia boleh memberi kesan buruk kepada usus.
Dalam portal Parade, Dr. Korenblit turut menjelaskan yang bakteria baik dalam usus hidup dengan serat dan kanji rintangan, iaitu bahagian makanan berasaskan tumbuhan yang tidak dapat dicerna sepenuhnya.
“Apabila anda kerap makan snek kerepek yang hampir tiada serat, anda hanya memberi makan kepada diri sendiri, bukan kepada bakteria usus,” tambahnya.
Difahamkan, diet tinggi serat menyokong kepelbagaian mikrobiota yang lebih sihat serta penghasilan asid lemak rantaian pendek seperti butirat, yang membantu mengurangkan keradangan dan menguatkan lapisan pelindung usus.
Tambah Dr. Korenblit lagi, pengambilan kerepek yang rendah nutrien secara berterusan boleh menyebabkan pengurangan bakteria usus yang bermanfaat serta meningkatkan keradangan.
Hal ini juga berpunca daripada suhu menggoreng tinggi yang menghasilkan sebatian penyebab keradangan.
Data kajian terkini menunjukkan bahawa sesetengah bahan pengelmusi dan bahan tambahan makanan boleh mengganggu lapisan mukus yang melindungi dinding usus.
“Satu hidangan kerepek tidak akan merosakkan usus anda, tetapi memakannya secara kerap dalam jangka masa panjang berpotensi mendorong kepada keradangan tahap rendah,” jelas Dr. Korenblit.
Sumber: Parade