Masalah pada sistem brek dipercayai menjadi punca kepulan asap keluar dari sebuah tren di Stesen KL Sentral kira-kira jam 5.15 petang tadi.
Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tren terbabit telah dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan bagi membolehkan pemeriksaan terperinci dijalankan di depoh.
Menurut kenyataan itu, semua penumpang telah diturunkan dengan selamat di Stesen Bangsar sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
“Kesemua penumpang diturunkan dengan selamat di Stesen Bangsar sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian berkenaan, Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang terjejas akibat gangguan tersebut.
“Rapid KL memberi jaminan bahawa keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan pihak operasi,” menurut kenyataan itu.

