Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gadis Maut Ketika Jalani Ritual Halau Roh Jahat
Seorang ibu di China telah dikenakan hukuman penjara selepas didakwa membunuh anak perempuannya ketika melakukan ritual menghalau roh jahat, lapor South China Morning Post.
Susulan kejadian itu, mahkamah di wilayah Guangdong menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap wanita yang dikenali sebagai Li pada Julai lalu.
Turut menerima hukuman yang sama ialah anak sulung wanita terbabit yang didapati bersalah kerana menyertai ritual yang membawa kepada kematian adiknya.
Kejadian ngeri berlaku pada Disember tahun lalu di kediaman mereka selepas mangsa, Xie tiba-tiba mendakwa dirinya dirasuki makhluk halus.
Difahamkan, mangsa dilaporkan meminta ibu dan kakaknya melakukan ritual pengusiran syaitan kerana dia dan keluarganya taasub dengan amalan khurafat serta telepati.
Keluarga berkenaan sering beranggapan bahawa mereka diserang oleh kuasa jahat dan mendakwa roh mereka sudah dijual kepada syaitan.
SCMP melaporkan ritual maut itu dilakukan dengan menekan dada mangsa dengan kuat selain menuang air ke dalam kerongkongnya untuk memaksa mangsa muntah.
Sepanjang proses berkenaan, mangsa dikatakan sempat memberitahu bahawa ritual itu berkesan dan meminta ibu serta kakaknya meneruskan tindakan itu.
Bagaimanapun, ahli keluarga lain menemui mulut mangsa berdarah pada keesokan pagi sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Mahkamah membuat keputusan itu berdasarkan jenayah membunuh tanpa niat atau kecuaian memandangkan kedua-dua tertuduh sebenarnya berniat mahu membantu mangsa.
Sumber: South China Morning Post