Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ketahui Apa Yang Terjadi Di Venezuela

Hannah
Venezuela
Gambar: AFP

Ketahui Apa Yang Terjadi Di Venezuela

Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas Venezuela pada awal pagi Sabtu, sekali gus menumbangkan pemerintahan Presiden Nicolas Maduro.

Pemimpin berhaluan kiri yang dianggap autoritarian itu kini ditahan dan dibawa ke New York untuk menghadapi perbicaraan, lapor AFP.

Permulaan serangan

Letupan pertama dilaporkan berlaku di ibu negara Caracas dan kawasan sekitarnya sejurus sebelum jam 2.00 pagi waktu tempatan (6.00 pagi GMT), dan berlarutan sehingga kira-kira jam 3.15 pagi.

Rakaman dan gambar yang tersebar di media sosial memaparkan helikopter berlegar di langit malam serta peluru berpandu menghentam sasaran, menghasilkan bebola api dan kepulan asap tebal.

Presiden AS, Donald Trump, menerusi platform Truth Social pada jam 9.21 pagi GMT mengumumkan bahawa AS telah berjaya melaksanakan serangan berskala besar ke atas Venezuela. Beliau turut mendakwa Nicolas Maduro dan isterinya telah ditangkap dan diterbangkan keluar dari negara itu.

Ketua Turus Tentera AS, Jeneral Dan Caine, menjelaskan bahawa misi yang dinamakan “Operasi Absolute Resolve” itu bertujuan khusus untuk menangkap Maduro.

Serangan udara dilancarkan bagi membuka laluan kepada helikopter yang digunakan dalam operasi tangkapan tersebut. Operasi itu dilaporkan melibatkan lebih 150 pesawat dan dirancang selama beberapa bulan.

Sasaran serangan

Antara sasaran utama ialah Fort Tiuna, kompleks ketenteraan terbesar Venezuela yang terletak di selatan Caracas.

Kawasan itu menempatkan Kementerian Pertahanan, akademi ketenteraan serta perumahan ribuan anggota tentera dan keluarga mereka.

Wartawan AFP di lokasi melaporkan melihat api marak dan asap tebal membumbung dari kompleks tersebut. Di salah satu pintu masuk yang masih dikawal, sebuah kenderaan perisai dan lori kelihatan rosak dengan kesan tembakan.

Pangkalan udara La Carlota di timur Caracas turut menjadi sasaran. Sebuah kenderaan perisai dilaporkan terbakar, manakala sebuah bas hangus dijilat api.

Selain itu, letupan turut dilaporkan berlaku di La Guaira (kawasan pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa), bandar Maracay serta Higuerote di pesisir pantai Caribbean. Kesemua lokasi ini berada dalam lingkungan 100 kilometer dari Caracas.

Korban & kerosakan

Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino Lopez, menuduh tentera AS melancarkan serangan peluru berpandu dan roket ke kawasan perumahan.

Setakat malam Sabtu, pihak berkuasa Venezuela masih belum mengeluarkan angka rasmi korban jiwa. Namun, Trump mendakwa tiada anggota tentera AS terbunuh dalam operasi tersebut.

Beliau bagaimanapun memberitahu sebuah akhbar AS bahawa ramai warga Cuba yang dipercayai melindungi Maduro telah terkorban.

Nasib Nicolas Maduro

Operasi ini menamatkan pemerintahan Maduro selama 12 tahun yang semakin bersifat autoritarian. Sebelum ini, AS telah menawarkan ganjaran AS$50 juta bagi penangkapan beliau.

Trump memuat naik gambar di Truth Social yang menunjukkan Maduro dalam keadaan digari dan ditutup mata di atas sebuah kapal tentera laut AS di Caribbean.

Dari situ, Maduro dan isterinya, Cilia Flores, diterbangkan ke New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah dan senjata.

Trump mendakwa beliau memantau operasi itu secara langsung dari kediamannya di Mar-a-Lago, sambil menyifatkannya seolah-olah menonton rancangan televisyen.

Menurutnya, Maduro berada di kawasan yang dikawal ketat seperti kubu dan cuba melarikan diri, namun gagal.

Jeneral Caine mendedahkan bahawa ejen perisikan AS mengkaji pergerakan harian Maduro selama berbulan-bulan, termasuk tempat tinggal, perjalanan, pemakanan serta rutin peribadi beliau. Maduro dan isterinya akhirnya menyerah diri tanpa sebarang tentangan.

Masa depan Venezuela

Dalam kenyataan yang mengejutkan sekutu dan musuh AS, Trump menyatakan bahawa AS akan mentadbir Venezuela buat sementara waktu dalam satu tempoh peralihan yang belum ditentukan. Beliau turut membayangkan kemungkinan penempatan tentera AS di darat.

Di sisi lain, pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, menyifatkan situasi itu sebagai detik kebebasan bagi negara tersebut. Beliau menggesa calon pembangkang dalam pilihan raya 2024 untuk segera mengambil alih jawatan presiden.

Namun, Trump menolak jangkaan bahawa Machado sendiri akan menjadi pemimpin negara, dengan mendakwa beliau tidak mempunyai sokongan atau penghormatan yang mencukupi dalam kalangan rakyat Venezuela.

BACA: Trump Dakwa AS Akan Tadbir Venezuela

Sumber: AFP