Dari Malaysia Ke Pentas WWE, Kisah Perjuangan Ayez Shaukat Sebagai Ahli Gusti Profesional
Seorang anak Malaysia membuktikan bahawa setiap impian itu tidak mengenal sempadan, tak kira sekecil kuman sehingga sebesar bulan.
Bermula dengan ejekan dan keraguan, kini namanya disebut-sebut di pentas gusti profesional dunia.
Dialah Ayez Shaukat Fonseka, atau lebih dikenali sebagai Shaukat, ahli gusti profesional dari Malaysia yang berjaya menembusi industri gusti Amerika Syarikat dan WWE.
Mungkin ada antara kita yang sudah mengenali atlet bertubuh sasa ini, dan tidak kurang juga yang masih belum.
Justeru, hari ini SK mengajak anda untuk menyelami sendiri kisah penuh inspirasi di sebalik perjalanan luar biasa beliau di bawah segmen Ini Kisah Aku.
Dilahirkan di Kuala Lumpur, Shaukat kini berusia 38 tahun dan berdarah campuran Melayu dan Serani.
Mungkin ramai yang tak menyangka bahawa lelaki yang kini dikenali sebagai bintang gusti antarabangsa ini sebenarnya juga memiliki latar belakang akademik yang cemerlang.
Beliau merupakan graduan Teknologi Makmal Perubatan dengan CGPA 3.84. Namun, kejayaan akademik itu bukanlah cerminan sebenar jiwanya.
Bercerita mengenai kerjaya ini, Shaukat memberitahu minatnya terhadap gusti profesional sudah tersemat sejak kecil.
Bermula sejak itu, Shaukat sudah menetapkan impian untuk menjadi seorang pro wrestler meskipun sering ditertawakan kerana dianggap tak masuk akal (realistik).
“Memang daripada kecil dah minat pro wrestling sebab menonton bersama adik-beradik dan arwah ayah.
“Abang saya dulu selalu sewa tape VHS. Dari kecil memang dah set nak jadi pro wrestler, walaupun sering digelakkan dan diperlekehkan dari dulu lagi,” ujarnya.
‘Mimpi’ Yang Sering Dipersendakan

Walaupun impian itu telah lama tersemat, hanya pada tahun 2013, ketika beliau berusia 25 tahun, Shaukat akhirnya mengumpul keberanian untuk melangkah masuk ke dunia gusti profesional.
Keputusan itu bukan mudah apatah lagi industri gusti di Malaysia suatu ketika dahulu ibarat tiada jaminan, kewangan dan sokongan yang sangat terhad.
Kongsi Shaukat, cabaran terbesar yang dihadapinya ketika itu adalah kewangan.
Segala kos latihan, perjalanan dan pembinaan kerjaya ditanggung menggunakan wang sendiri hasil pelbagai pekerjaan dan bukannya tajaan.

Malah, beliau pernah melakukan sehingga tujuh kerja freelance serentak demi menyara keluarga dan memastikan impiannya tidak terkubur di tengah jalan.
“Sampaikan ada kena kerja 7 kerja freelance berbeza. Tapi memang isteri, sebab kalau tak beri semangat, memang takkan cukup kuat nak hadap semuanya,” luahnya.
Selain kewangan, kecaman masyarakat turut menjadi ujian mental. Impiannya sering diperlekehkan, namun selepas lebih 11 tahun, Shaukat mengakui beliau sudah lali.
Baginya, hidup ini adalah miliknya sendiri dan kebahagiaan tidak wajar ditentukan oleh orang lain.
Tulang Belakang Seorang ‘Juara’

Di sebalik kekuatan mental Shaukat, berdirinya seorang insan paling berpengaruh dalam hidupnya, iaitu isterinya.
Sejak awal, Shaukat mendedahkan isterinya tidak pernah meragui atau mematahkan impiannya.
Sokongan inilah yang membuatkan Shaukat terus bertahan meskipun setiap keletihan, tekanan dan kegagalan datang silih berganti.
Shaukat mengakui perasaan ‘nak’ berputus asa itu sentiasa menghantui diri. Namun, isteri, anak serta anak-anak muridnya menjadi sebab utama beliau terus bangkit.
Baginya, berputus asa bererti menjadi contoh yang salah kepada generasi seterusnya.

“Isteri, anak-anak dan anak-anak murid saya adalah antara sebab saya terus bertahan kerana kalau saya putus asa, maka saya akan jadi satu contoh yang tak baik pada anak-anak saya.
“Saya akan sia-siakan kepercayaan dan sokongannya, dan anak-anak murid saya semua tidak akan ada platform untuk teruskan impian mereka,” katanya lagi.
Wira Yang Tidak Didendang

Demi mengejar impian, Shaukat terpaksa menanggung hutang dan kerugian mencecah lima angka termasuk masa bersama keluarga turut dikorbankan.
“Setiap hari training saya sahaja makan masa 4-6 jam, dan ni tak termasuk lagi kerja-kerja saya yang lain dalam industri perfileman.
“Bila balik rumah dah tak ada tenaga. Tapi semuanya saya percaya, saya buat untuk mereka,” kongsinya.
Orang Malaysia Pertama ‘Pecah TV’ Amerika Dalam WWE
Peluang bertanding di Amerika Syarikat menjadi titik perubahan besar dalam hidup Shaukat.


Menariknya, Shaukat mengakui di Amerika, dirinya disambut baik, dihormati dan dinilai berdasarkan bakat.
Apatah lagi, industri gusti di sana sangat kompetitif, dengan ribuan bakat bersaing untuk menembusi pasaran TV nasional. Namun, pengorbanannya terbayar apabila bakatnya mula dipandang.

Malah, beliau diiktiraf oleh pihak tertinggi WWE sebagai seorang yang memiliki potensi besar, membuktikan bahawa status sebagai ahli gusti dari Malaysia bukan penghalang untuk bersaing di peringkat global.
Momen Bermakna

Antara detik paling bermakna dalam kerjayanya ialah apabila beliau menjadi antara bintang terbesar di Reality of Wrestling, sesuatu yang sangat sukar dicapai oleh seorang “foreigner”.
Pada tahun 2025, Shaukat melakar satu lagi sejarah apabila muncul di WWE, di mana syarikat gustinya APAC Wrestling turut disebut kerana membantu mengembangkan bakat gusti dari Amerika Syarikat.
Secara tidak langsung, Shaukat bukan sahaja mengangkat nama Malaysia, malah memberi impak kepada industri gusti antarabangsa.
“Selagi tak cuba takkan tahu..”

Bagi Shaukat, kegagalan hanya wujud apabila seseorang itu berhenti berusaha.
“Usaha, doa, tawakal. Berikan usaha 100 peratus untuk bawa diri kita ke hadapan. Percayalah.. kalau kita dah usaha yang terbaik, dan jika Allah izinkan, maka kita akan capai apa kita nak capai,” titipnya.
Luahnya lagi, impian terbesarnya bukan sekadar bersifat kejayaan peribadi, malah beliau menyimpan satu tekad besar untuk melahirkan seorang anak murid dari Malaysia yang berjaya tembus ke WWE.

Kisah Shaukat membuktikan bahawa impian yang bersulamkan pengorbanan, disiplin dan kepercayaan diri mampu mengubah ejekan menjadi pengiktirafan.
Dari Kuala Lumpur ke pentas WWE, perjalanan Shaukat adalah bukti bahawa anak Malaysia juga mampu berdiri megah di pentas dunia.