Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hilangkan Bau Masakan Melekat Dalam Rumah? Ini Cara Paling Berkesan
Bau masakan yang kuat seperti sambal tumis, ikan goreng, tumisan bawang atau masakan berempah memang mampu membangkitkan selera ketika di dapur.
Namun situasi menjadi kurang selesa apabila baunya melekat lama di dalam rumah. Ianya melekat pada langsir, sofa, karpet malah memenuhi ruang tamu hingga membuatkan udara terasa berat dan tidak segar.
Lebih-lebih lagi bagi rumah apartment atau kediaman yang mempunyai ruang pengudaraan terhad. Bau minyak dan asap masakan mudah terperangkap dan mengambil masa lama untuk hilang sehingga meninggalkan kesan bau yang kurang menyenangkan.
Terutama apabila menerima tetamu atau pada waktu malam selepas selesai memasak.
Atas sebab itu, penting untuk kita tahu cara yang betul dan praktikal untuk menghilangkan bau masakan tanpa hanya bergantung kepada semburan pewangi semata-mata.
Langkah-langkah ini benar-benar membantu menyegarkan udara dan membersihkan ruang kediaman. Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan beberapa cara paling berkesan untuk menghilangkan bau masakan yang melekat di dalam rumah.
Ianya merangkumi kaedah natural dan rutin penjagaan dapur yang mudah diamalkan. Tip pengudaraan yang sesuai untuk rumah moden masa kini juga turut dikongsikan bagi membantu kediaman kekal segar, nyaman dan selesa didiami.
Langkah paling asas namun sering diabaikan adalah memastikan pengudaraan rumah berjalan dengan baik sebaik sahaja proses memasak bermula. Membuka tingkap, pintu balkoni atau pintu dapur lebih awal membantu udara panas dan berbau keluar dengan cepat.
Langkah ini memastikan bau masakan tidak sempat melekat pada fabrik dan permukaan perabot. Jika ada kipas siling atau kipas berdiri, halakan ia ke arah luar supaya bau minyak dan asap memasak dapat ditolak keluar.
Bagi rumah yang dilengkapi kitchen hood, sebaiknya hidupkan ia sebelum memasak bukan selepas selesai memasak. Ini kerana aliran sedutan yang konsisten sejak awal benar-benar membantu mengurangkan bau yang berkumpul di ruang dapur dan ruang tamu.
2. Didihkan air bersama lemon atau cuka
Selain membuka pengudaraan, satu teknik tradisional yang masih relevan dan sangat berkesan ialah merebus air bersama hirisan lemon atau campuran air dengan sedikit cuka.
Apabila air ini dibiarkan mendidih selama 10 hingga 15 minit, wap panas yang terhasil akan membantu memecahkan zarah bau minyak yang terapung dalam udara.
Bau sitrus daripada lemon memberi kesan segar dan menenangkan. Manakala cuka pula bertindak sebagai agen neutraliser yang menyerap bau masakan yang kuat seperti bau sambal, kunyit dan ikan goreng.
Teknik ini bukan sekadar menyamarkan bau tetapi benar-benar membantu membersihkannya daripada ruang udara rumah.
3. Letakkan serbuk kopi atau arang buluh
Bagi mereka yang gemar pilihan lebih semula jadi, serbuk kopi atau biji kopi boleh menjadi penyelamat dalam mengurangkan bau masakan yang kuat.
Kopi mempunyai keupayaan menyerap bau yang sangat tinggi. Ini menjadikannya pilihan popular untuk diletakkan di sudut dapur, atas kaunter atau berhampiran sinki selepas memasak.
Selain kopi, arang buluh juga berfungsi sebagai penyerap bau semula jadi yang mampu memerangkap bau lembap, asap dan minyak yang terapung di udara.
Cara ini sangat sesuai untuk rumah kecil atau apartment yang sukar mendapat pengudaraan luas kerana ia membantu mengekalkan udara terasa lebih bersih dan neutral.
Selain itu, penggunaan lilin aroma bukan sahaja memberi suasana cozy, malah dapat membantu meneutralkan bau masakan yang masih berbaki.
Pilih bau-bauan yang lembut dan segar seperti kopi, citrus, eucalyptus atau aroma herba yang ringan agar tidak bercampur dengan sisa bau lauk.
Elakkan bau manis seperti vanilla atau caramel yang cenderung membuatkan udara terasa lebih berat apabila bercampur dengan bau minyak.
Menyalakan lilin selepas selesai memasak juga membantu mewujudkan suasana rumah yang lebih relaks dan nyaman. Ianya seolah-olah udara kembali segar setelah seharian beraktiviti di dapur.
5. Rebus daun pandan atau serai
Bagi mereka yang lebih gemar kepada bau semula jadi yang lembut dan tradisional pula, merebus daun pandan atau serai merupakan pilihan yang cukup ideal.
Harumannya tidak terlalu kuat namun cukup untuk memberi kesan segar yang halus pada seluruh ruang rumah. Bau pandan menghadirkan rasa ketenangan yang sering dikaitkan dengan suasana rumah kampung.
Manakala serai memberi aroma bersih yang ringan dan menyenangkan. Kaedah ini juga sesuai untuk mereka yang sensitif terhadap bau pewangi sintetik kerana ia menggunakan bahan semula jadi tanpa bahan kimia tambahan.
6. Lap permukaan dapur dengan cuka atau baking soda
Kadangkala, punca sebenar bau masakan bukan hanya datang dari udara tetapi daripada kesan minyak yang melekat pada kabinet, dapur memasak, jubin dinding dan permukaan meja.
Apabila sisa minyak ini dibiarkan lama, ia akan mengeluarkan bau yang semakin kuat. Membersihkan permukaan menggunakan campuran air suam bersama sedikit cuka atau baking soda membantu menanggalkan lapisan minyak halus yang tidak kelihatan pada mata kasar.
Selain membuatkan dapur kelihatan lebih bersih dan kemas, rutin kecil ini memberikan keselesaan tambahan ketika menggunakan ruang dapur. Ia juga membantu mengelakkan bau masakan terperangkap untuk tempoh lebih lama.
Antara lain, ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa bau masakan sering datang daripada pinggan berminyak, periuk yang dibiarkan lama di sinki atau sisa minyak goreng yang masih berada dalam kuali.
Apabila dibiarkan beberapa jam, sisa minyak akan menghasilkan bau tengik yang kuat dan tidak menyenangkan. Menyelesaikan kerja dapur lebih awal dengan membasuh peralatan memasak serta membuang minyak terpakai dengan betul bukan sahaja menjadikan dapur lebih bersih.
Langkah ini juga menghalang bau masakan daripada terus berganda pada waktu malam.
8. Segarkan fabrik rumah seperti sofa, langsir dan karpet
Bau masakan juga sangat mudah menyerap ke dalam material fabrik seperti langsir, karpet dan sofa. Terutama jika ruang dapur dan ruang tamu berada dalam kawasan terbuka.
Untuk mengurangkan bau yang melekat pada fabrik, semburkan fabric spray yang ringan atau semburan homemade menggunakan campuran air dan perahan lemon.
Selain memberi bau yang menyenangkan, langkah kecil ini juga membantu mengekalkan rasa segar pada ruang rumah. Terutamanya selepas sesi memasak yang berat atau berempah.
9. Gunakan air purifier
Bagi mereka yang tinggal di apartment atau rumah yang ruangnya agak tertutup, penggunaan air purifier dengan penapis karbon aktif boleh menjadi pelaburan yang sangat membantu.
Penapis karbon berfungsi menyerap bau minyak, asap masakan dan zarah halus yang terapung di udara. Keadaan ini menjadikan ruang rumah lebih selesa terutamanya bagi mereka yang sensitif terhadap bau kuat.
Air purifier bukan sahaja membantu mengurangkan bau malah turut meningkatkan kualiti udara dalaman untuk jangka masa panjang.
Oleh itu, menghilangkan bau masakan di dalam rumah bukan sekadar soal keselesaan tetapi juga berkait rapat dengan kebersihan, kesihatan udara serta suasana kediaman yang tenang dan menyenangkan.
Setiap langkah kecil yang dilakukan selepas memasak mampu memberi perbezaan besar terhadap suasana rumah secara keseluruhan.
BACA : 5 Kaedah Memasak Yang Sihat, Asas Pemakanan Seimbang
Sumber :
elica
,
jae.co