Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trump Pertimbang Beberapa Pilihan, Termasuk Tindakan Ketenteraan Untuk Ambil Alih Greenland
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilapor membincangkan beberapa pilihan termasuk tindakan ketenteraan bagi mengambil alih Greenland, lapor AFP yang memetik kenyataan Rumah Putih pada Selasa.
Langkah tersebut meningkatkan ketegangan dengan Denmark memberi amaran tindakan sedemikian boleh memusnahkan pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Menurut AFP, Trump meningkatkan hasrat terhadap pengambil alihan wilayah autonomi Denmark yang kaya dengan mineral itu sejak operasi ketenteraan AS yang menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro minggu lalu.
Setiausaha Media Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata Trump menganggap rancangan tersebut merupakan keutamaan keselamatan negara yang bertujuan mengekang seteru AS seperti Rusia dan China.
“Presiden dan pasukannya sedang membincangkan pelbagai pilihan bagi mencapai matlamat dasar luar yang penting ini. Sudah tentu penggunaan ketenteraan AS sentiasa menjadi satu pilihan di bawah kuasa Ketua Pemerintah,” katanya.
Bagaimanapun The Wall Street Journal melaporkan, Setiausaha Negara AS Marco Rubio memaklumkan kepada penggubal undang-undang bahawa Trump cenderung ke arah pilihan membeli Greenland daripada Denmark.
Rubio juga menambah bahawa ancaman berkenaan bukan bermakna pencerobohan akan berlaku dalam masa terdekat.
Sementara itu, Denmark mengeluarkan amaran bahawa sebarang usaha mengambil Greenland secara paksa bermaksud “semuanya akan terhenti”, termasuk pakatan NATO dan hubungan keselamatan Translantik yang kukuh selama 80 tahun.
Menurut AFP lagi, sebarang tindakan ketenteraan AS terhadap Greenland boleh menyebabkan NATO runtuh serta-merta. Ini berdasarkan Artikel Lima pakatan berkenaan yang menetapkan negara anggota akan mempertahankan mana-mana anggota yang diserang.
Terdahulu, Greenland dan Denmark mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah meminta untuk bertemu Rubio dengan segera susulan ketegangan yang meningkat berhubung perkara tersebut.
Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen berkata pertemuan itu akan “menjernihkan salah faham tertentu”.
Manakala Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen pula menegaskan bahawa pulau itu bukan untuk dijual dan masa depan perlu ditentukan oleh 57,000 penduduknya.
Sumber: AFP