Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menerima kunjungan bekas bintang Arsenal, Mesut Özil ketika di Istanbul.
Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar berkata Ozil kini terlibat secara aktif dalam AK Party Republik Türkiye di samping terus komited dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan.
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim“Dalam pertemuan ini, saya sempat berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan beliau mengenai pelbagai perkara, termasuk melibatkan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau.
“Saya mengambil kesempatan menjemput beliau ke Malaysia, khususnya bagi berkongsi pengalaman terkait bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat,” katanya.
Terdahulu, Anwar tiba di Istanbul pada Khamis untuk menghadiri beberapa program sebelum mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 2.19 petang waktu tempatan (7.19 malam waktu Malaysia).
Beliau turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri Turkiye daripada pelbagai sektor.
Beliau emudiannya akan mengadakan sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air, menandakan berakhirnya lawatan rasmi beliau ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang bermula Selasa lepas.
Lawatan rasmi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Turkiye yang sudah terjalin sejak sekian lama.
Sumber: Anwar Ibrahim