Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tuan Rumah Dari ‘Syurga’, Halalkan Sewa Tertunggak Lebih RM1,000
Lumrah hidup sebagai manusia memerlukan bumbung untuk berteduh.
Keperluan ini menjadikan hubungan antara tuan rumah dan penyewa sesuatu yang tidak asing lagi dalam dunia kita. Tuan rumah menyediakan ruang perlindungan, manakala penyewa menjaga amanah yang diberikan.
Hubungan ini sering diuji dengan tanggungjawab, kepercayaan dan toleransi, khususnya apabila berdepan kekangan kewangan atau situasi tidak dijangka.
Antara rezeki dan nikmat yang paling berharga buat tuan rumah dan penyewa ialah apabila kedua-dua belah pihak mempunyai hati nurani yang murni.
Itulah yang menjadi kisah bualan warga maya baru-baru ini apabila tular seorang tuan rumah menghalalkan bayaran sewa bulanan kepada penyewanya. Difahamkan, sewa bulanan yang perlu dibayar berjumlah RM1,550.
“Takpe, sewa bulan ni saya tak ambil. Kak Mel tak perlu fikir pasal sewa ye. Selesaikan apa yang patut untuk anak-anak je dulu,” ujar lelaki berkenaan kepada penyewa.
Tuan rumah, @compartir_sustento berkongsi kisah berkenaan di laman Thread miliknya.
“Penyewa ni dah tiga tahun jaga rumah saya, baru kali ni dia mintak macam ni. Kita permudahkan urusannya. Semoga doanya diangkat ke atas,” katanya
Lelaki tersebut membuat keputusan untuk tidak menerima bayaran sewa bagi mengutamakan anak-anak penyewanya.
Menerusi tangkap layar perbualan, jelas terlihat keindahan budi bahasa yang dipamerkan penyewa, Kak Mel tatkala meminta pertimbangan lelaki tersebut.
Permintaan untuk membayar sewa rumah secara ansuran terpaksa diutarakan apabila Kak Mel dan suaminya menghadapi kesulitan berikutan jualan yang tidak seberapa. Malah, mereka turut perlu mengutamakan empat orang anak yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.
Dalam perkongsian tersebut, lelaki berkenaan sempat menitipkan doa buat ibu bapa yang berusaha mencukupkan keperluan persekolahan anak-anak.
“Pada ibu bapa di luar sana, saya doakan awak semua kuat dan tabah, dipermudahkan segalanya,” ucapnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut menitipkan doa buat kedua belah pihak. Malah, ada juga yang berkongsi dijodohkan dengan tuan rumah yang berhati budi seperti lelaki tersebut.




Sumber: Thread @compartir_sustento