“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam satu hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim bertitah keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dipelihara serta dipertahankan.
“Pemeliharaan dua aspek Rukun Negara itu amat penting kerana ia memberi kesan secara langsung ke atas tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara,” titah Seri Paduka Baginda lagi.
Titah berkenaan dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Sri Azalina Othman Said di ibu negara hari ini.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan taklimat isu-isu semasa perihal perundangan dalam negara oleh Dato’ Sri Azalina, yang turut menyentuh soal pengukuhan tatakelola serta usaha reformasi institusi ke arah memerangi rasuah.
Sumber: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar