40 Peratus Kawasan Jakarta Utara Kini Bawah Paras Laut
Ibu negara Indonesia menghadapi ancaman serius akibat penurunan tanah yang boleh menenggelami sebahagian bandar dan menimbulkan kerugian ekonomi besar jika langkah mitigasi tidak diambil, lapor portal The Straits Times.
Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) menganggarkan tanah Jakarta tenggelam pada kadar purata 3.5 sentimeter (sm) setahun.
Kawasan utara Jakarta menerima kesan paling teruk apabila tanah di kawasan itu telah mendap sehingga empat meter dalam tempoh 40 tahun, sekali gus menyebabkan kira-kira 40 peratus daripadanya berada di bawah paras laut.
Penyelidik BRIN, Yus Budiyono berkata, bahagian utara bandar kini seperti ‘mangkuk’ dan menjadi titik panas banjir akibat sungai melimpah, hujan lebat dan air laut memasuki daratan.
Difahamkan, kedudukan Jakarta di kawasan delta rendah, tempat pertemuan sungai-sungai dari dataran tinggi selatan sebelum mengalir ke Teluk Jakarta, menjadikan bandar ini mudah terdedah kepada banjir.
The Straits Times melaporkan pembangunan yang tidak terkawal serta pengambilan air bawah tanah secara berlebihan turut memburukkan lagi keadaan.
Selain itu, Yus menganggarkan risiko banjir mengakibatkan kerugian sekurang-kurangnya AS$186 juta (kira-kira RM753.3 juta) setahun dan dijangka meningkat kepada AS$421 juta (sekitar RM1.7 bilion) menjelang 2030 sekiranya penurunan tanah terus berlanjutan.
Kerajaan pusat bina penghadang konkrit
Sejak 2014, pentadbiran Jakarta bersama kerajaan pusat telah membina penghadang konkrit sepanjang 20 kilometer (km) sebagai sebahagian daripada projek Pembangunan Bersepadu Pesisir Ibu Negara (NCICD) yang merangkumi 46 km, bagi melindungi bandar itu daripada banjir pantai.
Presiden Prabowo Subianto turut mengumumkan pelan pembinaan tembok laut gergasi sepanjang 500 km di pantai utara Jawa bagi melindungi komuniti dari Banten hingga Jawa Timur.
Bagaimanapun, Yus menegaskan bahawa langkah berbentuk struktur seperti tembok laut tidak menangani punca utama penurunan tanah, iaitu pengambilan air bawah tanah secara berlebihan.
Sebahagian besar penduduk Jakarta masih bergantung kepada air bawah tanah berikutan liputan PAM Jaya yang belum menyeluruh, manakala sektor industri juga sebelum ini menggunakan sumber air tersebut sebelum ia diharamkan.
Pada 2021, Gabenor Jakarta ketika itu, Anies Baswedan, mengharamkan pengambilan air bawah tanah di sembilan kawasan perindustrian dan sepanjang 12 jalan utama.
Sementara itu, pentadbiran semasa di bawah Gabenor Pramono Anung pula dilaporkan merancang untuk memperketatkan lagi peraturan berkenaan.
Sumber: The Straits Times