Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cuaca Sejuk Menyelubungi Pantai Timur, Rupanya Datang Dari Siberia

Azizah Najib
cuaca sejuk pantai timur
Kredit: ESA

Cuaca Sejuk Menyelubungi Pantai Timur, Rupanya Datang Dari Siberia

Kebelakangan ini, cuaca di beberapa kawasan Pantai Timur dilaporkan lebih sejuk berbanding kebiasaan, terutama pada waktu pagi.

Fenomena ini mencuri perhatian ramai apabila sebahagian murid terpaksa mengenakan baju sejuk ketika hadir ke sekolah.

Difahamkan, keadaan tersebut berpunca daripada luruan sejuk Monsun Timur Laut (MTL) yang telah dijangka.

Setiap tahun, pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan mengeluarkan nasihat tentang permulaan monsun ini supaya rakyat Malaysia, terutamanya di Pantai Timur dapat membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Namun, jarang pula kita lihat nasihat cuaca yang mengetengahkan tentang penurunan suhu mencecah 18 darjah Celsius seperti kejadian ini.

Tahukah anda? Rupa-rupanya kesejukan yang kita rasai ketika ini merupakan bawaan angin Timur Laut yang berasal dari benua Siberia.

Kredit: MetMalaysia

Cuaca sejuk Siberia pada Januari

Terletak di Pergunungan Ural, selatan Lautan Pasifik, benua Siberia merupakan kawasan yang kebiasaannya mengalami suhu antara -15 hingga -25 darjah Celsius. Cuaca bagi bulan Disember, Januari dan Februari sering mengalami cuaca paling sejuk berbanding bulan selebihnya.

Pada bulan ini juga, suhu kebiasaan bagi bandar paling utara di Siberia, Norilsk boleh mencecah sehingga -35 darjah Celcius.

Sebagai pengetahuan, bandar paling sejuk di dunia berada di Siberia, iaitu Yakutsk dengan suhu yang mampu mencecah serendah -42 darjah Celsius pada Januari.

yakutsk siberia rusia
Kredit: Anadolu/Getty Images

Bukan itu sahaja, tempat paling sejuk di dunia sehingga tidak ada yang mampu mendiaminya merupakan kawasan timur laut Siberia. Suhu terendah yang pernah dicatatkan di bandar Verkhoyansk pada tahun 1982 dan Oymyakon pada 1924 adalah -71.2 darjah Celsius.

Secara ringkasnya, suhu sejuk ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Antara yang memainkan peranan penting sudah tentu disebabkan oleh topografi dan kehadiran salji.

Keadaan ini membentuk zon bertekanan tinggi separa kekal ketika Siberia menghadapi musim sejuk. Zon ini digelar Siberian High.

Apa itu Siberian High?

Siberian High merupakan satu sistem angin yang sangat kuat, berskala besar, dan terlalu sejuk serta kering. Sistem ini mempengaruhi cuaca ketika musim sejuk di sekitar Eurasia. Zon ini berpusat di sekitar Tasik Baikal.

tasik baikal siberia
Kredit: Science NASA

Menurut penerangan MetMalaysia, udara sejuk yang bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut ini bertukar menjadi angin timur laut setelah tiba di perairan pantai China, menuju ke Asia Tenggara.

Berikutan itu, sebahagian kawasan di Pantai Timur Semenanjung turut mengalami cuaca yang lebih sejuk dari biasa dalam tempoh ini.

BACA: Jangan Keliru, Ini Beza Imbasan CT & MRI

BACA: Murid Gembira & Mak Ayah Lega, Disember 2026 Cuma Sekolah Empat Hari Je

Sumber: Bernama, NASA, Selena Travel, Remote Lands, Live Science, The Hindu, MetMalaysia, Science Nasa