Majlis Perjumpaan Bersama Atlet Dan Jurulatih Negara Di Majlis Sukan Negara
Menteri Belia dan Sukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para atlet dan jurulatih negara atas pencapaian cemerlang yang diraih pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Menurut beliau, majlis perjumpaan bersama atlet dan jurulatih negara bukan sekadar platform untuk beramah mesra, malah menjadi ruang penting untuk berinteraksi, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak terlibat.
“Sejak hari pertama saya melangkah ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya dapat merasakan satu semangat kebersamaan yang begitu kuat dan luar biasa dalam kalangan keluarga besar KBS,” jelasnya.
Tambahnya, semangat kebersamaan itu bukan sahaja wujud dalam kalangan warga kementerian, malah turut merangkumi atlet, jurulatih dan seluruh pegawai sokongan.
“Salah satu buktinya, kita berjaya mencapai keputusan amat membanggakan pada Sukan SEA Thailand 2025 yang lalu. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” ucapnya.
Pencapaian cemerlang Sukan SEA Thailand 2025
Mengulas mengenai perjuangan atlet dan jurulatih di Sukan SEA Thailand, beliau menyatakan rasa kagum dan bangga terhadap pencapaian yang ditunjukkan oleh semua pihak terlibat.
“Kejayaan membawa pulang 57 emas, 57 perak dan 117 pingat gangsa adalah sesuatu yang luar biasa, selain memerlukan keazaman tinggi dalam memberi saingan sengit kepada atlet-atlet dari negara lain,”
Menurut beliau, sepanjang memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau sempat melawat beberapa tempat pertandingan di Thailand dan menyaksikan sendiri kesungguhan atlet serta jurulatih dalam memberikan aksi terbaik demi negara.
“Saya percaya kejayaan dan aksi memukau ini tidak hanya terhenti di Thailand, tetapi akan terus dibawa ke pentas Sukan SEA 2027, di mana kita bakal menjadi tuan rumah.”
Kejayaan kontinjen remaja para Asia
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara yang menyertai Temasya Sukan Remaja Para Asia (AYPG).
“Seramai 19 atlet muda para negara berjaya membawa pulang keseluruhan 39 pingat dan ini juga merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan kita semua. Tahniah dan syabas,” ucapnya.
“Hari ini pula, kontinjen atlet para Malaysia berlepas ke Thailand bagi bersaing dalam Temasya Sukan Para ASEAN yang dijadualkan pada 20 hingga 26 Januari 2026 di Nakhon Ratchasima.”
Beliau turut mengajak semua pihak untuk mendoakan kejayaan 236 atlet dan 120 pegawai yang akan bersaing dalam 18 daripada 19 jenis sukan yang dipertandingkan.
Penghargaan kepada juara dunia
Pada masa yang sama, beliau mewakili keluarga besar KBS merakamkan penghargaan tertinggi kepada atlet yang telah mengharumkan nama negara melalui kejayaan memenangi gelaran kejohanan dunia tahun lalu.
Atlet-atlet yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
1. Gandingan badminton beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei
2. Empat atlet wushu negara iaitu Tan Cheong Min, Si Shin Peng, Lee Jia Rong dan Pang Pui Yee;
3. Juara dunia para, Datuk Abdul Latif Romly daripada para olahraga
4. Bonnie Bunyau Gustin dan Muhammad Akmal Danish daripada sukan powerlifting;
5. Mohamad Yusuf Hafizi daripada para berbasikal
6. Dua atlet para bowling, Abang Yahya Abang Azhar serta Marcus Cheng Hao Hong.
“Percayalah, para atlet dan jurulatih akan terus mendapat sokongan daripada kerajaan selain sentiasa dihujani doa serta kepercayaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, pencapaian atlet tidak akan dipandang sepi dan Kerajaan Madani komited memastikan sokongan diberikan setimpal dengan pengorbanan dan kejayaan yang dicapai.
Ini termasuk aspek kebajikan, persiapan latihan, pendedahan antarabangsa dan kesinambungan kerjaya selepas bersara.
Kalendar sukan 2026
Mengulas mengenai perancangan sukan negara, beliau berkata kalendar sukan tahun ini padat dengan beberapa temasya penting melibatkan atlet dan jurulatih.
“Para atlet dan jurulatih akan berdepan tiga temasya sukan penting iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026, Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada 19 September hingga 4 Oktober 2026, serta Sukan Para Asia di Nagoya pada 18 hingga 24 Oktober 2026.”
Beliau berkata, acara-acara besar ini akan menjadikan sukan negara sebagai tumpuan pelbagai pihak, termasuk kritikan dan teguran, serta menasihatkan atlet agar bijak mengurus tekanan dan kekal fokus kepada matlamat masing-masing.
Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa setiap aduan atlet dan jurulatih akan sentiasa diberi keutamaan.
“Perkara yang menjejaskan kesejahteraan, persiapan dan fokus atlet tidak sesekali akan dipandang sepi.”
“Saya percaya apabila kebajikan dijaga dengan baik, para atlet dan jurulatih dapat memberi sepenuh tumpuan untuk berlatih serta bertanding tanpa sebarang gangguan,” jelasnya.
Persiapan SUKMA dan Sukan SEA 2027
Beliau turut memaklumkan bahawa Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para SUKMA akan berlangsung tahun ini dengan Selangor sebagai tuan rumah, diikuti penganjuran Sukan SEA 2027 pada tahun berikutnya.
Katanya, penganjuran Sukan SEA 2027 memerlukan persediaan rapi dan menyeluruh, meliputi aspek tempat, logistik serta kesiapsiagaan atlet.
“Saya sedar bahawa perjuangan dan pengorbanan para atlet dalam mengharumkan nama negara tidak ternilai dengan wang ringgit.”
Beliau mengakui bahawa pengorbanan atlet dalam mengharumkan nama negara tidak ternilai, namun wajar diraikan melalui pemberian insentif sebagai tanda penghargaan atas usaha gigih mereka.
“Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara, saya ingin mengumumkan bahawa kadar hadiah bagi pemenang pingat gangsa Sukan SEA telah dinaikkan kepada RM1,000.”
Menurutnya, keputusan ini dibuat susulan cadangan penambahbaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang kali terakhir disemak pada tahun 2014 agar ia kekal relevan dan selari dengan keperluan semasa atlet negara.
“Pada masa sama, kelulusan juga telah diberikan bagi peluasan skim insentif merangkumi temasya sukan remaja, temasya sukan orang pekak serta kejohanan utama sukan para, melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta setahun,” tambahnya.
Inspirasi legenda sukan
Memetik kata-kata legenda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari, beliau berkata kejayaan tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan, disiplin dan kerja keras berterusan
“Allahyarham Mokhtar Dahari pernah membuktikan bahawa kejayaan dalam sukan tidak datang dengan mudah. Ia menuntut disiplin, pengorbanan dan kerja keras berterusan. Semangat inilah yang harus kita pegang selain tidak cepat berpuas hati dengan sesuatu kejayaan.”
Beliau berkata, semangat dan nilai tersebut perlu terus dipegang oleh atlet dan jurulatih agar tidak cepat berpuas hati dengan sesuatu kejayaan.
Selain itu, beliau turut mengajak semua pihak memperkukuh kesatuan, tekad dan komitmen demi menjadikan tahun 2026 sebagai titik kebangkitan sukan negara.
Akhir sekali, beliau menyeru para atlet dan jurulatih agar terus melangkah ke hadapan dengan semangat, disiplin dan keyakinan tinggi bagi memastikan nama Malaysia terus harum di pentas dunia.