JAIS Siasat Video Tular Aktiviti Senaman Aerobik
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil maklum penularan sebuah rakaman video di aplikasi TikTok yang memaparkan aktiviti senaman aerobik yang didakwa berlaku di kawasan Bukit Badong, Selangor, seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, perbuatan yang dipaparkan dalam rakaman video berkenaan bukan sahaja disifatkan sebagai sangat tidak beradab. Malah, mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam serta berpotensi menyebabkan agama Islam dipandang hina.
“Jabatan ini memandang serius perbuatan ini dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana perbuatan tersebut selain sangat tidak beradab, ia mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa JAIS kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut. Ini termasuk mengenal pasti lokasi sebenar kejadian, penganjur program serta individu-individu yang terlibat.
Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian Hotline JAIS di 1800-88-2424.

BACA: Tiga Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Di Kulim
Sumber: JAIS