Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

10 Adab Yang Pelancong Wajib Tahu Sebelum Jejak Jepun

JEPUN
Kredit: National Geographic

Jepun bukan sekadar terkenal dengan kereta api yang menepati masa, jalan yang bersih dan budaya yang unik.

Bagi pelancong kali pertama, perkara kecil seperti cara menggunakan penyepit, bercakap dalam tren atau membuang sampah juga boleh menjadi pengalaman budaya yang menarik.

Malah, banyak etika masyarakat Jepun berasaskan satu prinsip mudah iaitu tidak menyusahkan orang lain.

Jadi, memahami beberapa kebiasaan tempatan bukan sahaja membantu mengelakkan situasi kekok, malah menunjukkan rasa hormat kepada masyarakat setempat.

Jika anda merancang bercuti ke Jepun, berikut antara perkara yang wajar diketahui sebelum berangkat.

1. Jangan cucuk penyepit tegak dalam nasi

Nampak seperti perkara kecil, tetapi meletakkan penyepit secara menegak di dalam mangkuk nasi adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

Cara itu dikaitkan dengan amalan pengebumian masyarakat Jepun. Begitu juga perbuatan memindahkan makanan daripada penyepit seseorang kepada penyepit orang lain.

Selepas digunakan, letakkan penyepit pada tempat yang disediakan.

Kredit: Touristjapan

2. Jangan pelik kalau orang hirup mi dengan bunyi

Kalau anda makan ramen, soba atau udon di Jepun, bunyi menghirup mi bukan semestinya dianggap biadab.

Sebaliknya, ia diterima sebagai sebahagian daripada budaya menikmati mi Jepun. JNTO sendiri menyenaraikan menghirup mi sebagai antara perkara yang boleh dilakukan ketika menikmati makanan Jepun.

3. Tak perlu tinggalkan tip

Jepun bukan negara yang mengamalkan budaya memberi tip seperti di sesetengah negara lain.

Di restoran, kafe, hotel dan perkhidmatan teksi, tip secara umumnya tidak diperlukan. Jadi, membayar jumlah pada bil sudah memadai.

Kalau anda benar-benar mahu menunjukkan penghargaan, ucapan “arigatou gozaimasu” atau terima kasih sudah cukup sebagai tanda menghargai layanan.

Kredit: Flytographer

4. Jangan terkejut apabila staf menjerit “Irasshaimase!”

Masuk sahaja ke kedai atau restoran, anda mungkin akan mendengar pekerja menyebut “irasshaimase!”, iaitu ucapan mengalu-alukan pelanggan.

Tak perlu membalasnya. Senyuman atau anggukan kecil sudah memadai.

5. Rendahkan suara dalam pengangkutan awam

Tren dan bas di Jepun bukan tempat untuk berbual dengan suara kuat atau bercakap lama melalui telefon.

Pelancong digalakkan merendahkan suara, menggunakan fon kepala ketika mendengar sesuatu dan mengelakkan panggilan telefon di dalam tren atau bas.

Selain itu, beratur dengan tertib dan beri laluan kepada penumpang untuk keluar terlebih dahulu sebelum menaiki tren.

6. Jangan makan sambil berjalan sesuka hati

Makan dan minum ketika berjalan di tempat awam bukan kebiasaan yang digalakkan di Jepun.

Jika membeli makanan, lebih baik nikmatinya di kawasan yang sesuai berhampiran tempat pembelian atau di tempat duduk yang disediakan.

Namun, terdapat pengecualian seperti Shinkansen, yang memang membolehkan penumpang menikmati makanan sepanjang perjalanan.

7. Sampah? Simpan dahulu

Salah satu perkara yang mungkin membuatkan pelancong tertanya-tanya ialah mengapa jalan raya Jepun kelihatan bersih walaupun tong sampah awam tidak begitu banyak.

Jawapannya mudah, pengunjung digalakkan membawa sampah sendiri sehingga menemui tempat pembuangan yang sesuai atau membawanya pulang.

Peraturan pengasingan sampah pula boleh berbeza mengikut kawasan.

8. Mahu cuba onsen? Ada adabnya

Pengalaman berendam di onsen atau kolam air panas memang antara perkara menarik ketika berada di Jepun.

Namun, sebelum masuk ke kolam, pengunjung perlu membersihkan badan terlebih dahulu di kawasan pancuran.

Rambut dan tuala kecil juga tidak sepatutnya dicelupkan ke dalam air. Bagi tatu pula, peraturan berbeza mengikut onsen, jadi semak syarat tempat berkenaan terlebih dahulu.

9. Jangan sibuk berjalan di eskalator

Di sesetengah bandar Jepun, terdapat kebiasaan untuk berdiri di satu sisi eskalator dan memberikan ruang kepada orang lain.

Namun, panduan rasmi pelancongan Jepun kini menasihatkan pengunjung supaya tidak berjalan di atas eskalator kerana ia boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Jadi, jika keliru, ikut arahan dan kebiasaan setempat di lokasi berkenaan.

10. Belajar beberapa perkataan mudah

Tak perlu fasih berbahasa Jepun untuk melancong ke negara itu.

Namun, beberapa perkataan mudah seperti “sumimasen” (maaf/permisi), “arigatou gozaimasu” (terima kasih) dan “onegaishimasu” (tolong/sila) boleh membantu ketika berkomunikasi.

Menurut JNTO, mempelajari beberapa ungkapan asas bahasa Jepun sentiasa dihargai oleh penduduk tempatan.

Kecil pada kita, besar maknanya di Jepun

Hakikatnya, pelancong tidak perlu terlalu risau untuk mengingati setiap satu peraturan.

Yang paling penting ialah peka terhadap keadaan sekeliling, menghormati ruang orang lain dan tidak menyusahkan masyarakat tempatan.

Dengan memahami beberapa adab ini, perjalanan ke Jepun bukan sahaja menjadi lebih lancar, malah memberikan peluang untuk kita memahami budaya masyarakatnya dengan lebih dekat.

Kerana di Jepun, kadangkala perkara kecil seperti merendahkan suara, membawa pulang sampah dan menggunakan penyepit dengan betul sudah cukup untuk menunjukkan kita seorang tetamu yang menghormati tuan rumah.

Intipati
  • Pelancong dinasihatkan mengelakkan cucuk penyepit tegak dalam nasi kerana dikaitkan pengebumian.
  • Dalam pengangkutan awam Jepun, penumpang digalakkan merendahkan suara dan mengelakkan panggilan telefon.
  • Etika lain termasuk tidak memberi tip, menyimpan sampah dahulu dan membersihkan badan sebelum onsen.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan