KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 10 anggota Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dibuang kerja sepanjang tahun 2025 hingga semalam akibat penyalahgunaan dadah dan tidak hadir bertugas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata daripada jumlah itu, enam anggota dibuang kerja pada 2025, melibatkan lima kes penyalahgunaan dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu kes tidak hadir bertugas.
Beliau berkata empat lagi dibuang kerja setakat Oktober lepas, masing-masing membabitkan dua kes penyalahgunaan dadah dan dua kes tidak hadir bertugas.
Ahmad Radzi berkata isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota PGA agak membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pegawai pemerintah serta penyelia bagi memastikan gejala itu tidak menjejaskan disiplin dan imej pasukan.
“Tiada kompromi terhadap penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota Briged Tenggara PGA. Mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya ketika ini mempunyai 17 kes siasatan terbuka berkaitan penyalahgunaan dadah.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Radzi berkata seorang anggota batalion di bawah pentadbiran Briged Tenggara PGA ditangkap pada 13 Okt lepas di kawasan penugasan Operasi Taring Wawasan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952... hasil siasatan mendapati anggota berkenaan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah selama lapan tahun sekali gus menunjukkan betapa pentingnya pemantauan berterusan terhadap tingkah laku dan kebajikan anggota,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan pegawai pemerintah batalion supaya memberi perhatian terhadap kebajikan, disiplin, tingkah laku dan masalah anggota selain mengenal pasti perubahan sikap yang boleh membawa kepada pelanggaran disiplin atau undang-undang.
Ahmad Radzi turut mengarahkan Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard di peringkat ibu pejabat serta batalion memperkukuh pemantauan serta langkah pencegahan menerusi pemeriksaan, pendekatan kebajikan, nasihat selain tindakan susulan terhadap anggota berisiko.
Beliau berkata penyelia yang gagal menjalankan tanggungjawab juga boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk di bawah Peraturan 3C bagi memastikan seluruh warga Briged Tenggara PGA mengekalkan disiplin, integriti dan profesionalisme.
-- BERNAMA

