Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

10 Misteri Lautan Yang Masih Membingungkan Saintis

LAUTAN
Monumen Yonaguni, Jepun

10 Misteri Lautan Yang Masih Membingungkan Saintis

Lebih 70 peratus permukaan Bumi dilitupi lautan, namun manusia dipercayai masih belum meneroka sebahagian besar dunia bawah air.

Di sebalik hamparan biru yang kelihatan tenang, tersembunyi pelbagai misteri yang terus menjadi tanda tanya dalam kalangan saintis, penyelidik dan pencinta lautan.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), lebih 80 peratus dasar laut dunia masih belum dipetakan atau diterokai sepenuhnya. Keadaan itu menjadikan lautan antara kawasan paling misteri di planet ini, malah ada yang menyifatkannya lebih sukar diterokai berbanding permukaan Bulan.

Daripada struktur bawah laut yang menyerupai kota purba sehinggalah fenomena kehilangan kapal yang mencetuskan pelbagai teori, berikut antara misteri lautan yang terus mencuri perhatian dunia.

1. Monumen Yonaguni, Jepun

Di dasar laut berhampiran Pulau Yonaguni, Jepun, terdapat struktur batu gergasi yang kelihatan seperti piramid bertingkat lengkap dengan tangga, teres dan sudut berbentuk geometri.

Penemuannya pada tahun 1986 mencetuskan perdebatan sehingga hari ini. Ada penyelidik percaya ia terbentuk secara semula jadi akibat aktiviti tektonik dan hakisan, manakala sebahagian lagi berpendapat ia mungkin pernah diubah suai oleh tamadun purba.

Setakat ini, tiada bukti saintifik yang mengesahkan struktur tersebut dibina manusia.

Dragon's Triangle

2. Laut Syaitan (Dragon's Triangle)

Terletak di Lautan Pasifik antara Jepun, Taiwan dan Kepulauan Bonin, kawasan ini sering dibandingkan dengan Segi Tiga Bermuda.

Pelbagai kisah kehilangan kapal, pesawat dan fenomena aneh dikaitkan dengannya sejak berdekad lamanya.

Bagaimanapun, kebanyakan dakwaan itu tidak pernah disahkan secara rasmi. Saintis berpendapat keadaan cuaca ekstrem, arus laut yang kuat serta aktiviti gunung berapi dasar laut lebih munasabah menjelaskan insiden yang berlaku.

Laut Sargasso

3. Laut Sargasso Yang Tidak Mempunyai Pantai

Laut Sargasso dianggap unik kerana menjadi satu-satunya laut di dunia yang tidak mempunyai sempadan daratan.

Ia dikelilingi sepenuhnya oleh empat arus laut utama di Lautan Atlantik dan dipenuhi rumpai laut terapung dikenali sebagai Sargassum.

Ekosistem kawasan ini masih menjadi fokus penyelidikan kerana menjadi habitat penting kepada belut Eropah, belut Amerika serta pelbagai spesies marin yang sukar ditemui di tempat lain.

4. 'Crop Circle' Di Dasar Laut

Corak bulatan sempurna yang ditemui di dasar laut Jepun suatu ketika dahulu pernah mencetuskan pelbagai teori pelik.

Namun akhirnya, saintis menemui 'pelukis' sebenar iaitu ikan buntal jantan (pufferfish).

Ketika musim mengawan, ikan tersebut menghasilkan corak bulatan yang sangat simetri menggunakan siripnya bagi menarik perhatian pasangan. Proses menghasilkan satu bulatan boleh mengambil masa sehingga seminggu.

5. Objek Misteri Laut Baltik

Pada tahun 2011, sekumpulan penyelam Sweden menemui objek berbentuk bulat berdiameter kira-kira 60 meter di dasar Laut Baltik.

Permukaannya kelihatan seolah-olah diperbuat daripada logam atau batu yang tidak biasa.

Sejak itu, pelbagai teori muncul termasuk dakwaan ia kapal karam, tinggalan glasier, formasi batuan semula jadi malah ada yang mengaitkannya dengan objek asing (UFO).

Sehingga kini, asal-usul sebenar objek itu masih belum dipastikan.

6. Jurang Mariana

Jurang Mariana merupakan kawasan paling dalam di lautan dunia dengan kedalaman hampir 11 kilometer di Challenger Deep.

Tekanan air di situ melebihi 1,000 kali tekanan atmosfera di permukaan Bumi, menjadikannya antara lokasi paling sukar diterokai manusia.

Menariknya, saintis menemui pelbagai organisma unik yang mampu hidup dalam keadaan gelap gelita dan tekanan melampau sekali gus membuka perspektif baharu mengenai had kehidupan di Bumi.

7. Dengungan Halus Bumi (Earth's Hum)

Walaupun tidak dapat didengari manusia, Bumi sebenarnya sentiasa menghasilkan getaran frekuensi rendah dikenali sebagai Earth's Hum.

Saintis percaya getaran tersebut berpunca daripada interaksi ombak laut dengan dasar lautan serta pergerakan arus laut.

Namun mekanisme sebenar bagaimana fenomena itu berlaku masih belum difahami sepenuhnya.

8. Misteri Segi Tiga Bermuda

Segi Tiga Bermuda antara misteri lautan paling terkenal di dunia.

Terletak di antara Florida, Puerto Rico dan Bermuda, kawasan ini sering dikaitkan dengan kehilangan kapal dan pesawat.

Walaupun pelbagai teori luar biasa seperti makhluk asing dan kuasa ghaib pernah dikemukakan, kebanyakan pakar berpendapat faktor cuaca buruk, kesilapan manusia, ombak besar serta gangguan navigasi lebih munasabah menjelaskan kejadian tersebut.

9. Fatamorgana Di Lautan

Pernah melihat kapal seolah-olah terapung di udara?

Fenomena optik dikenali sebagai Fata Morgana berlaku apabila lapisan udara sejuk berada di bawah udara yang lebih panas.

Keadaan itu menyebabkan cahaya membengkok sehingga objek jauh kelihatan terapung, terbalik atau berubah bentuk.

Fenomena ini sering disalah anggap sebagai kapal hantu atau objek misteri.

10. Dari Mana Datangnya Air Laut?

Walaupun air meliputi sebahagian besar Bumi, asal-usulnya masih menjadi persoalan dalam dunia sains.

Dua teori utama masih dibincangkan.

Teori pertama menyatakan air dibawa oleh komet dan asteroid ais yang menghentam Bumi ketika pembentukannya berbilion tahun dahulu.

Teori kedua pula mencadangkan air sebenarnya berasal dari dalam Bumi sendiri sebelum dibebaskan melalui aktiviti gunung berapi selama berjuta-juta tahun.

Kajian terkini menunjukkan kedua-dua proses berkemungkinan menyumbang kepada pembentukan lautan yang wujud hari ini.

Lautan Masih Menyimpan Berjuta Rahsia

Walaupun teknologi penerokaan laut semakin canggih, saintis mengakui manusia baru memahami sebahagian kecil dunia bawah laut.

Setiap ekspedisi baharu sering membawa penemuan yang mengubah pemahaman kita mengenai sejarah Bumi, evolusi hidupan serta fenomena semula jadi yang masih belum dapat dijelaskan sepenuhnya.

Barangkali, misteri terbesar lautan bukanlah apa yang telah ditemui, tetapi apa yang masih tersembunyi jauh di dasar yang belum pernah dijejaki manusia.

Sumber:Earth How
Intipati
  • Lebih 80 peratus dasar laut dunia masih belum dipetakan atau diterokai sepenuhnya.
  • Artikel menyenaraikan misteri seperti Monumen Yonaguni, Laut Syaitan, Jurang Mariana dan Segi Tiga Bermuda.
  • Saintis masih mengkaji fenomena lautan, termasuk getaran Bumi dan asal-usul air laut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan