Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

10 Orang Asli Maut Dibunuh & 15 Cedera, Dua Suspek Tragedi Ngeri Tikam-menikam Diburu

Nur Syahirah Zainoor Hisham
orang asli james smith cree nation dibunuh
Kredit: AFP

10 Orang Asli Maut Dibunuh & 15 Cedera, Dua Suspek Tragedi Ngeri Tikam-menikam Diburu

10 nyawa melayang, manakala 15 lagi cedera dalam satu kejadian tikam-menikam melibatkan mangsa dari komuniti suku orang asli di wilayah Saskatchewanand, Kanada baru-baru ini.

Asisten Komisioner Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan 10 mayat di James Smith Cree Nation, sebuah kawasan terpencil berdekatan bandar Weldon di sana.

Katanya, 15 individu yang tercedera berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan, manakala dua suspek yang disyaki terlibat dalam insiden keganasan ‘paling mengerikan’ di Kanada terbabit turut diburu.

“Sungguh ngeri apa yang berlaku di wilayah kita pada hari ini. Kami sedang aktif memburu dua orang suspek bagi kes ini,” kata Blackmore dalam kenyataan seperti yang dilapor AFP.

Difahamkan, kedua-dua suspek terbabit yang sudah dikenal pasti identitinya didakwa melarikan diri dari tempat kejadian dengan menggunakan sebuah kereta berwarna hitam.

Menurut polis, suspek yang masing-masing berusia 30 dan 31 tahun itu didakwa memiliki rambut berwarna hitam dan mata berwarna perang.

Kredit: AFP

Ekoran insiden itu, kawasan James Smith Cree Nation dengan jumlah populasi sebanyak 2,500 orang diisytiharkan darurat, manakala kebanyakan penduduk di wilayah Saskatchewan digesa untuk berada di rumah masing-masing.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau turut menggelarkan insiden tersebut sebagai satu tragedi yang ‘ngeri dan menyayat hati’ seperti yang ditulis dalam satu ciapannya di laman Twitter.

Kredit: Twitter

“Serangan di Saskatchewan hari ini (ketika itu) sangat ngeri dan menyayat hari. Saya memikirkan tentang mereka yang kehilangan insan tersayang dan juga yang tercedera,” katanya.

Beliau juga telah menzahirkan ucapan takziah dan menggesa penduduk tempatan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Kredit: Twitter

Apakah motif serangan tersebut?

Pada masa yang sama, Blackmore dan pihaknya mempercayai bahawa beberapa mangsa telah menjadi sasaran oleh suspek manakala yang lain pula diserang secara rawak.

Kredit: Twitter

“Berkenaan motif serangan, kami masih belum dapat mengenal pasti buat masa sekarang,” jelasnya yang turut berkata tiada maklumat penuh mengenai mangsa serangan dikeluarkan secara rasmi setakat ini.

Di samping itu, imej tempat kejadian yang ditayangkan secara umum menerusi siaran televisyen turut menunjukkan beberapa rumah terbiar yang dikelilingi rumput panjang dan ditanda dengan garisan polis.

Manakala, imej yang dikongsi oleh penduduk tempatan menerusi media sosial pula menunjukkan kesan-kesan selepas insiden tersebut berlaku seperti gambar pemegang pintu yang sudah rosak.

Seorang penduduk Weldon, Diane Shier memberitahu media tempatan bahawa jirannya, seorang lelaki yang tinggal bersama cucunya telah terbunuh dalam serangan tersebut.

“Saya berasa sangat sedih atas kehilangan seorang jiran yang sangat baik,” katanya kepada agensi berita Canadian Press.

Sumber: AFP via Dawn