Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

10 Produk Ini Berjaya Kerana Orang Guna Dengan Cara Yang Salah
Hari ini, kita lihat banyak produk yang dipasarkan di pasaran sentiasa mendapat tempat di hati orang ramai.
Malah sesetengah produk yang dikeluarkan syarikat sudah berusia puluhan tahun. Perkara ini menunjukkan matlamat dan visi syarikat berjaya dalam penjualan produk berkenaan
Tapi tahu tak, sebenarnya ada produk syarikat yang laku keras sebab pengguna menggunakan dengan cara yang salah atau berbeza daripada tujuan asal.
Rupa-rupanya ada juga produk yang laku keras bukan sebab fungsi asal dia, tapi sebab pengguna pakai dengan cara yang salah atau berbeza sama sekali daripada tujuan asal.
Jom SK rungkaikan di bawah.
Slinky (Mainan spring)
Slinky merupakan antara permainan klasik yang paling dikenali di seluruh dunia. Hampir setiap orang pasti pernah melihat atau bermain dengannya sekurang-kurangnya sekali.
Hanya dengan seutas spring berbentuk gegelung, Slinky mampu 'berjalan' menuruni anak tangga dan mencipta pergerakan yang menghiburkan.
Namun, di sebalik reka bentuknya yang ringkas, permainan ini sebenarnya mempunyai kisah penciptaan yang cukup menarik.
Pada tahun 1943, seorang jurutera mekanikal bernama Richard James sedang berusaha mencipta sejenis spring yang dapat memastikan peralatan di atas kapal tentera laut kekal stabil ketika kapal bergerak di lautan.
Ketika melakukan eksperimen, beberapa reka bentuk spring ciptaannya secara tidak sengaja terjatuh dari atas rak.
Namun, bukannya bergolek atau terhempas ke lantai, spring tersebut terbuka secara perlahan-lahan dan 'melangkah' turun dengan begitu unik.
Terkagum dengan apa yang dilihat, Richard mula mendapat idea untuk menukarkan spring tersebut menjadi sebuah permainan kanak-kanak.

Apabila isterinya, Betty James, mengetahui rancangan itu, dia mencari nama yang sesuai di dalam kamus.
Akhirnya, dia menemui perkataan Slinky, yang membawa maksud 'bergerak dengan anggun dan lincah'.
Nama itu sangat sesuai dengan cara permainan tersebut bergerak, lalu terus digunakan sehingga hari ini.
Selepas hampir dua tahun melakukan pelbagai ujian terhadap panjang dan saiz spring, serta mendapatkan pinjaman sebanyak AS$500 untuk mengeluarkan produk itu, Richard dan Betty akhirnya berjaya menghasilkan Slinky untuk dipasarkan.
Walaupun jualan pada peringkat awal agak perlahan, nasib mereka berubah pada musim Krismas tahun 1945 apabila Slinky dipamerkan di Gedung Serbaneka Gimbels di Philadelphia.
Dalam hanya beberapa minit, sebanyak 400 unit Slinky berjaya dijual.
Daripada sebuah spring yang pada asalnya dicipta untuk kegunaan kapal tentera laut, Slinky akhirnya menjadi antara permainan kanak-kanak paling ikonik di dunia. Satu penemuan yang tidak disengajakan, tetapi berjaya mencipta sejarah.
Listerine (Ubat kumur)
Listerine merupakan antara ubat kumur paling popular di dunia, digunakan oleh kira-kira satu bilion orang di seluruh dunia.
Namun, tahukah anda bahawa Listerine sebenarnya tidak dicipta untuk tujuan sebagai ubat kumur pada awalnya?
Pada tahun 1865, selepas teori tentang kuman diperkenalkan oleh Louis Pasteur, pembedahan pertama yang dilakukan dalam bilik steril berjaya dilaksanakan oleh Sir Joseph Lister.
Penemuan ini telah membantu mengurangkan kadar kematian pesakit dengan ketara.
Mengambil inspirasi daripada kerja-kerja mereka, seorang doktor bernama Joseph Lawrence telah mencipta sejenis larutan yang digunakan untuk membasmi kuman, sama ada di meja pembedahan mahupun di medan perang.
Beliau menamakan larutan itu sebagai 'Listerine' sempena nama Sir Joseph Lister.

Sepanjang akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, listerine telah dipasarkan sebagai cecair pencuci lantai, penyahbau (deodorant), dan juga ubat untuk pelbagai penyakit.
Hanya pada tahun 1923, barulah ia digunakan secara rasmi sebagai ubat kumur antiseptik.
Listerine mempunyai sejarah yang cukup menarik, dan siapa sangka ia pernah digunakan untuk membersihkan lantai sebelum menjadi sebahagian daripada rutin penjagaan mulut kita hari ini.
Tali leher (Necktie)
Tali leher (necktie) merupakan antara aksesori paling formal yang boleh dipakai. Ia memberikan penampilan yang kemas, bergaya dan tampak lebih profesional.
Namun, tahukah anda bahawa tali leher sebenarnya tidak dicipta semata-mata sebagai aksesori fesyen seperti yang kita kenal hari ini?
Pada abad ke-17, ketika Perang Tiga Puluh Tahun (Thirty Years’ War) sedang berlaku di seluruh Eropah, Raja Perancis Louis VIII telah mengambil khidmat tentera upahan dari Croatia untuk berjuang bersama pihak Perancis.

Tentera Croatia ini memakai sejenis kain hiasan di leher mereka yang digunakan untuk mengikat bahagian atas jaket mereka.
Raja Louis VIII tertarik dengan rekaan kain tersebut sehingga beliau menjadikannya sebahagian daripada majlis rasmi diraja dan mewajibkannya sebagai aksesori pemakaian.
Beliau menamakannya sebagai 'La Cravate', yang menjadi asal usul kepada tali leher moden.
Walaupun bentuk tali leher telah banyak berubah sejak abad ke-17, penggunaannya kekal sehingga hari ini. Gaya tali leher moden yang kita kenal kini dipercayai mula menjadi popular sekitar tahun 1920-an.
Gula-gula getah (Chewing gum)
Gula-gula getah (chewing gum) merupakan antara makanan kenyal yang digemari ramai, sama ada oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Namun, tahukah anda bahawa gula-gula getah sebenarnya tidak dicipta untuk tujuan mengunyah seperti yang kita kenal hari ini?
Sejarah gula-gula getah boleh dikesan sejak ribuan tahun dahulu, khususnya dalam tamadun Maya dan Aztec.
Ketika itu, ia dikenali sebagai chicle dan digunakan sebagai makanan ringan serta penyegar nafas.
Versi moden gula-gula getah yang kita kenal hari ini bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1869, apabila Thomas Adams Sr. mengenali bahan chicle daripada bekas jeneral Mexico, Antonio Lopez de Santa Anna.

Pada mulanya, Adams cuba menghasilkan pelbagai produk menggunakan chicle seperti kasut hujan, topeng muka, dan juga mainan.
Namun, semuanya tidak berjaya. Akhirnya, beliau mendapat idea untuk menambah perisa pada chicle tersebut.
Hasilnya, beliau mula menjualnya secara komersial sebagai 'Adams New York Chewing Gum'.
Menjelang tahun 1870, Adams and Sons mula memasarkan gula-gula getah berperisa oren masam sebagai makanan ringan.
Beliau juga akhirnya mematenkan mesin gula-gula getah, dan daripada pelbagai inovasi itu, lahirlah gula-gula getah yang kita kenali hari ini.
Siapa sangka, sesuatu yang pada asalnya pernah cuba dijadikan kasut hujan akhirnya menjadi makanan kegemaran ramai.
WD-40
WD-40 biasanya dikenali sebagai produk penyelenggaraan, sering digunakan sebagai pelincir dan serba guna untuk pelbagai kegunaan.
Namun, tahukah anda bahawa WD-40 sebenarnya tidak bermula sebagai produk serba boleh seperti yang kita kenal hari ini?
Pada tahun 1953, tiga orang pekerja di syarikat Rocket Chemical Company mula mencipta sejenis bahan kimia yang boleh mencegah karat dan melicinkan permukaan untuk kegunaan industri aeroangkasa.
Di San Diego, California, mereka mencuba pelbagai formula sehingga 40 kali percubaan sebelum berjaya menghasilkan bahan yang diinginkan.
Nama WD-40 sendiri sebenarnya ialah singkatan kepada 'Water Displacement, 40th attempt' (Penyingkiran air, percubaan ke-40).
WD-40 pertama kali digunakan oleh syarikat Convair untuk melapisi bahagian luar peluru berpandu Atlas.
Hasilnya sangat baik sehingga ramai pekerja Convair mengambil botol WD-40 untuk kegunaan sendiri.

Pada tahun 1960, pengasas Rocket Chemical Company, Norm Larsen, mula memasarkan WD-40 dalam bentuk tin untuk kegunaan umum.
Syarikat itu berkembang dengan pesat, dan pada tahun 1961, WD-40 digunakan untuk membaiki kerosakan kenderaan dan rumah selepas Taufan Carla melanda pantai Teluk Amerika Syarikat.
Menjelang tahun 1969, Rocket Chemical Company ditukar nama kepada WD-40 Company, Inc., dan selebihnya menjadi sejarah.
Daripada sekadar bahan pencegah karat, WD-40 kini berkembang menjadi produk serba guna dengan ribuan kegunaan, malah dilaporkan terdapat di hampir 4 daripada 5 rumah di Amerika Syarikat yang membuktikan betapa meluasnya penggunaannya dalam kehidupan seharian.
Treadmill (Sawat injak)
Treadmill merupakan antara peralatan senaman paling popular hari ini. Ia membantu meningkatkan kecergasan kardio dan membuatkan jantung berdegup lebih laju.
Namun, tahukah anda bahawa treadmill sebenarnya tidak dicipta untuk tujuan menurunkan berat badan seperti yang kita kenali sekarang?
Bentuk awal treadmill dipercayai wujud pada zaman Empayar Rom, di mana ia digunakan sebagai alat dalam kren kuno.
Pada ketika itu, treadmill berbentuk seperti roda besar yang dipanggil tread wheel, di mana manusia akan berjalan di dalam roda tersebut untuk mengangkat beban yang lebih berat daripada berat badan mereka sendiri.
Pada abad ke-19, treadmill berkembang lagi apabila para petani di Eropah menggunakannya untuk menjana tenaga bagi mesin mereka.

Haiwan seperti kuda diletakkan di atas treadmill untuk menghasilkan tenaga yang lebih konsisten berbanding angin dan air. Daripada penggunaan inilah istilah 'horse power' atau kuasa kuda mula diperkenalkan.
Perkembangan seterusnya berlaku pada tahun 1818 di Great Britain apabila jurutera William Cubitt mencipta treadmill penjara yang digunakan untuk tujuan hukuman dan kerja berat.
Banduan akan dipaksa berjalan di atas treadmill untuk mengisar bijirin seperti jagung. Amalan ini kemudian dihentikan selepas Prison Act 1889 apabila kerja paksa di penjara dimansuhkan.
Akhirnya, pada era 1960-an, Bill Staub dan Dr. Kenneth Cooper memperkenalkan treadmill sebagai peralatan senaman untuk kegunaan di rumah.
Sejak itu, ia menjadi salah satu alat kecergasan paling biasa digunakan sehingga hari ini.
Daripada alat hukuman di penjara kepada peralatan senaman moden, treadmill sememangnya mempunyai sejarah yang panjang dan mengejutkan.
Super glue (Gam gajah)
Super Glue sememangnya terkenal sebagai pelekat yang sangat kuat dan cepat kering, menjadi pilihan utama apabila mahu melekatkan dua benda dengan kukuh.
Namun, tahukah anda bahawa super glue sebenarnya tidak dicipta untuk tujuan sebagai gam seperti yang kita kenal hari ini?
Ketika Perang Dunia Kedua, Dr. Harry Wesley Coover cuba mencipta alat pandangan senjata yang diperbuat daripada plastik jernih untuk kegunaan tentera Bersekutu.
Dalam pencariannya, beliau dan pasukannya menemui sejenis bahan bernama cyanoacrylate, sebatian yang sangat melekit.

Pada awalnya, Coover menganggap bahan ini sesuai untuk melekatkan komponen alat tersebut, namun ia terlalu melekit sehingga merosakkan projek mereka, lalu ditinggalkan.
Namun pada tahun 1951, bahan yang sama ditemui semula ketika Coover bekerja di Eastman Kodak dalam projek menghasilkan polimer tahan haba untuk enjin jet.
Kali ini, salah seorang pembantunya, Fred Joyner, secara tidak sengaja menggunakan bahan itu untuk melekatkan dua prisma. Mengejutkan mereka, kedua-dua prisma itu melekat dengan serta-merta dan sangat kuat.
Daripada penemuan itu, Eastman Kodak mula menghasilkan pelekat tersebut untuk dipasarkan.
Nama Super Glue pula mula popular apabila syarikat Loctite melesenkan bahan itu dan menjualnya sebagai Super-Bonder.
Selain digunakan dalam kehidupan seharian, super glue juga pernah digunakan semasa Perang Vietnam untuk menutup luka tentera di medan perang.
Tujuannya adalah untuk menghentikan pendarahan dengan segera sebelum mangsa dibawa mendapatkan rawatan. Ia dipercayai telah menyelamatkan banyak nyawa dalam keadaan kecemasan.
Bubble wrap (Pembungkus gelembung)
Bubble wrap merupakan salah satu bahan pembungkusan paling berguna yang kita kenal hari ini, malah sering menjadi 'alat hiburan' apabila gelembungnya dipicit satu per satu.
Namun, di sebalik keseronokannya, bubble wrap sebenarnya mempunyai kisah asal-usul yang agak mengejutkan.
Pada tahun 1957, dua jurutera dari Sealed Air Corporation iaitu Alfred W. Fielding dan Marc Chavannes cuba mencipta sesuatu yang baharu untuk dipasarkan.
Idea awal mereka ialah menghasilkan kertas dinding bertekstur. Rekaan ini terhasil apabila mereka mencantumkan dua lapisan tirai mandi yang mempunyai gelembung udara di antaranya.
Malangnya, idea kertas dinding tersebut tidak mendapat sambutan. Namun mereka tidak berputus asa dan mula mencari kegunaan lain untuk ciptaan itu.

Pada tahun 1959, mereka menemui peluang apabila syarikat teknologi IBM melancarkan komputer baharu mereka.
Sealed Air Corporation mencadangkan penggunaan bubble wrap sebagai bahan pembungkus untuk melindungi komputer tersebut.
Cadangan itu diterima oleh IBM, dan sejak itu bubble wrap mula digunakan secara meluas sebagai bahan pembungkusan di seluruh dunia, termasuk untuk komputer, telefon dan pelbagai barangan lain.
Siapa sangka, bahan yang asalnya direka sebagai kertas dinding akhirnya menjadi pelindung penting untuk teknologi moden.
Post-it notes (Nota lekat)
Post-it notes telah membantu berjuta-juta orang di seluruh dunia, sama ada guru, pelajar, ahli perniagaan, mahupun orang awam.
Nota kecil berpelekat ini sering menjadi pengingat untuk tugasan harian, jadual kerja, dan juga perkara penting seperti tarikh peperiksaan.
Namun, di sebalik kegunaannya yang biasa kita lihat hari ini, Post-it notes sebenarnya mempunyai kisah asal-usul yang sangat menarik.
Pada tahun 1968, seorang saintis di Amerika Syarikat yang bekerja di syarikat 3M iaitu Dr. Spence Silver cuba mencipta sejenis pelekat yang sangat kuat.
Namun, hasil yang diperoleh sebaliknya ialah pelekat yang lemah dan sensitif kepada tekanan. Bahan ini dianggap hampir tidak berguna dan mendapat gelaran unglue.

Namun pada tahun 1974, seorang rakan sekerjanya, Art Fry, menemui kegunaan untuk bahan tersebut ketika menggunakan buku nyanyian gereja.
Beliau sering menghadapi masalah penanda buku yang mudah terjatuh setiap kali digunakan.
Apabila beliau menyapu sedikit pelekat tersebut pada kertas dan menampalnya dalam buku, beliau mendapati ia melekat dengan baik tetapi masih boleh ditanggalkan tanpa merosakkan halaman.
Daripada penemuan itu, 3M cuba memasarkan produk tersebut pada tahun 1977 dengan nama 'Press ‘N Peel', namun hasil jualannya kurang memberangsangkan.
Setahun kemudian, nama itu ditukar kepada 'Post-it', dan produk tersebut akhirnya mendapat sambutan yang sangat besar di seluruh dunia.
Siapa sangka, sekeping nota kecil yang kita gunakan hari ini sebenarnya lahir daripada ;kesilapan' makmal yang tidak dirancang?
Play-Doh (Mainan doh)
Play-Doh sememangnya dikenali ramai sebagai bahan permainan kanak-kanak yang lembut dan mudah dibentuk.
Namun, tahukah anda bahawa Play-Doh sebenarnya tidak dicipta untuk tujuan permainan seperti yang kita kenal hari ini?
Penciptanya, Joseph McVicker, pada asalnya menghasilkan Play-Doh sekitar tahun 1930 sebagai bahan pencuci kertas dinding.
Produk ini dicipta di Cincinnati, Ohio, dan digunakan dengan cara menggolekkannya pada dinding untuk menghilangkan kotoran dan jelaga yang terkumpul.
Namun, menjelang akhir tahun 1940-an, penggunaan kertas dinding berasaskan vinil menyebabkan perniagaan McVicker merosot.

Pada masa yang sama, seorang rakannya yang juga seorang guru memberitahu bahawa pelajarnya menghadapi kesukaran menggunakan tanah liat untuk aktiviti seni.
Daripada situ, McVicker mendapat idea untuk mencuba bahan pencuci kertas dindingnya sebagai bahan permainan yang lebih mudah dibentuk.
Menjelang tahun 1955, produk tersebut mula dibekalkan ke sekolah-sekolah di Cincinnati dan dikenali sebagai Play-Doh, yang akhirnya menjadi permainan popular di seluruh dunia hari ini.