Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suka Beli Barangan Terpakai? Ini 5 Barang Yang Perlu Dielak

barang terpakai
Kredit: Gemini

Suka Beli Barangan Terpakai? Ini 5 Barang Yang Perlu Dielak

Barangan terpakai sering kelihatan seperti pilihan bijak lebih murah, bergaya dan kadangkala lebih unik berbanding yang baru.

Ramai juga menganggap sekadar sedikit cucian dibolehkan untuk terus digunakan tanpa memikirkan risiko yang mungkin tersembunyi di sebalik rupa yang masih elok itu.

Namun tidak semua barang sesuai untuk digunakan semula, terutamanya apabila melibatkan kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

Ada yang boleh menyimpan bakteria, alergen, bahan kimia berbahaya atau bahkan rosak tanpa disedari sehingga boleh memberi kesan kepada pengguna.

Daripada bantal di bilik tidur, sofa di ruang tamu, peralatan bayi hingga ke pinggan mangkuk vintaj di dapur setiap satu mempunyai risiko tersendiri yang sering dipandang ringan.

Hari ini, SK akan kongsikan penjelasan dari Reader's Digest mengenai lima barang yang berbahaya untuk digunakan secara terpakai.

Bantal

Bantal mungkin nampak bersih di bahagian luar, tetapi seperti tilam, di dalamnya boleh mengandungi bertahun-tahun habuk hama, peluh, sel kulit mati dan alergen.

Menurut Maldonado, bantal juga sukar untuk dibersihkan dan dinyahkuman kerana saiznya besar dan sukar dimuatkan ke dalam mesin basuh (walaupun masih boleh dilakukan).

Selain itu, ia juga sangat sukar untuk dikeringkan sepenuhnya, menyebabkan ramai orang tidak membersihkannya langsung.

Kredit: Gemini

Disebabkan bantal menyerap kelembapan dan bahan organik, ia juga boleh menjadi tempat pembiakan kulat.

Bagi mereka yang mempunyai alahan atau asma, membawa masuk bantal terpakai ke dalam rumah boleh mencetuskan simptom seperti bersin, mata gatal, hingga reaksi yang lebih serius.

Demi kesihatan dan tidur yang lebih berkualiti, adalah lebih baik untuk membeli bantal yang baru.

Perabot upholsteri

Sofa terpakai yang nampak bergaya mungkin kelihatan seperti barang hiasan yang sempurna, tetapi seperti tilam dan bantal, perabot upholsteri juga boleh menyembunyikan pelbagai masalah.

Untuk pengetahuan, fabrik dan kusyen busa boleh memerangkap bakteria, alergen dan kelembapan.

Tetapi tahukah anda bahawa “makhluk kecil” ini boleh kekal lama walaupun selepas penggunaan atau pembersihan terakhir?

Kredit: Gemini

Satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Infection Control mendapati bahawa patogen boleh bertahan sekurang-kurangnya seminggu pada permukaan fabrik.

Manakala kajian lain dalam Eurasian Journal of Medicine pula mendapati sesetengah bakteria dan kulat boleh hidup pada fabrik hampir sebulan atau lebih lama dalam keadaan tertentu.

Maldonado turut memberi amaran bahawa sofa dan kerusi terpakai mungkin mengandungi perosak seperti pepijat katil, lipas atau bahkan tikus.

Jika anda melihat sofa lama yang benar-benar anda inginkan, periksa dahulu tanda-tanda serangan sebelum membawanya pulang, seperti bau hapak, kesan kotoran, najis perosak atau tompokan kecil berwarna gelap di sepanjang jahitan.

Kerusi kereta bayi (carseat)

Peralatan bayi memang mahal, merupakan asbab mengapa tempat duduk kereta bayi terpakai sering dilihat sebagai pilihan yang praktikal dan menarik.

Namun, dari segi perlindungan keselamatan ketika kemalangan, membeli yang baru boleh memberikan perbezaan yang sangat penting. Itulah sebabnya pakar keselamatan menggalakkan agar lebih berhati-hati ketika membeli peralatan penting ini.

Pertama, anda mungkin tidak tahu sama ada kerusi kereta bayi lama itu pernah terlibat dalam kemalangan.

Kredit: Gemini

National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) mengesyorkan agar kerusi kereta diganti selepas sebarang kemalangan sederhana atau teruk, dan kerosakan tidak mudah dikenal pasti hanya dengan melihatnya.

Ini bermaksud bargain yang anda dapat mungkin tidak memberikan perlindungan mencukupi jika berlaku kemalangan, sesuatu yang pasti anda tidak mahu risaukan, lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan keselamatan anak anda.

Sebab kedua untuk tidak membeli kerusi kereta terpakai ialah kerana ia sebenarnya mempunyai jangka hayat yang terhad, iaitu sekitar enam hingga sepuluh tahun, menurut Consumer Reports.

Ini kerana bahan yang digunakan dalam kerusi tersebut (kebanyakannya plastik) boleh merosot dari semasa ke semasa.

Patung mainan

Patung mainan terpakai mungkin nampak seperti hadiah yang comel dan manis, bahkan boleh terjadi anda “menghadiahkan” tambahan alergen dan mikroorganisma.

Semua fabrik lembut dan bahan berbulu yang berliang, walaupun yang comel dan disukai,boleh mengumpul hama habuk, spora kulat dan pelbagai perengsa yang boleh menyebabkan kegatalan.

Namun, oleh sebab saiznya, patung mainan adalah antara barangan yang masih boleh dibersihkan dengan selamat.

Maldonado mencadangkan supaya ia dicuci menggunakan air panas (sekurang-kurangnya 130 darjah) sebelum dikeringkan sepenuhnya di dalam pengering.

Alternatif lain, jika anda tidak dapat mencuci dan mengeringkannya dengan air panas, anda boleh membekukannya dalam beg plastik tertutup sekurang-kurangnya 24 jam untuk membunuh hama habuk.

Pinggan mangkuk & peralatan memasak vintaj dengan lapisan yang tidak diketahui

Di sebalik daya tarikan peralatan memasak vintaj, mungkin terdapat bahan yang kini tidak lagi dianggap selamat.

Sebagai contoh, pinggan seramik lama dan peralatan memasak antik kadangkala mengandungi plumbum dalam lapisan glasirnya untuk meningkatkan warna dan ketahanan.

Malangnya, lapisan ini boleh haus dari semasa ke semasa, terutamanya jika item tersebut sumbing atau retak.

Kredit: Gemini

Apabila ini berlaku, plumbum boleh meresap ke dalam makanan dan minuman.

Plumbum ialah logam toksik yang tidak mempunyai tahap pendedahan yang selamat, dan ia boleh memberi kesan kepada semua peringkat umur, bukan hanya kanak-kanak.

Jika anda tidak dapat mengesahkan bahan atau keadaan peralatan memasak terpakai tersebut, adalah lebih selamat untuk tidak mengambil risiko dan elakkan penggunaannya.