Percutian pastinya lebih bermakna apabila setiap kenangan indah dapat dirakam dalam bentuk gambar. Sama ada ketika menikmati pemandangan pantai, meneroka bandar bersejarah atau mengunjungi lokasi pelancongan menarik, gambar yang cantik mampu mengabadikan pengalaman tersebut untuk dikenang pada masa hadapan.
Menariknya, anda tidak semestinya memerlukan kamera profesional yang mahal untuk menghasilkan gambar percutian yang memukau. Telefon pintar yang dibawa setiap hari juga mampu menghasilkan gambar berkualiti jika digunakan dengan teknik yang betul.
Selain bergantung pada kemampuan kamera, komposisi, pencahayaan, sudut pengambilan gambar dan kreativiti turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan foto yang menarik.
Berikut ialah 10 tip yang boleh dicuba untuk menjadikan gambar percutian anda lebih cantik dan menarik.

1. Kenal Pasti Tujuan Gambar Diambil
Sebelum mengambil gambar, fikirkan tujuan anda merakam sesuatu pemandangan atau pengalaman.
Adakah gambar itu untuk simpanan peribadi, dikongsi bersama keluarga atau dimuat naik ke media sosial?
Jika untuk kenangan sendiri, anda mungkin lebih gemar merakam gambar spontan bersama rakan atau keluarga. Namun, jika ingin berkongsi pengalaman percutian di media sosial, gambar landskap, seni bina unik dan pemandangan yang menarik mungkin lebih sesuai.
Dengan mengetahui tujuan gambar diambil, anda boleh menentukan subjek dan gaya fotografi yang ingin dihasilkan.
2. Pelajari Asas Fotografi
Tidak perlu menjadi jurugambar profesional untuk menghasilkan gambar yang menarik. Memahami beberapa asas fotografi sudah cukup membantu meningkatkan kualiti gambar.
Antara perkara yang boleh dipelajari ialah komposisi, perspektif dan teknik pembahagian ruang dalam gambar.
Salah satu teknik yang mudah digunakan ialah peraturan sepertiga atau Rule Of Thirds. Aktifkan garisan grid pada kamera telefon dan letakkan subjek utama berhampiran garisan atau titik persilangannya.
Teknik ini boleh membantu menghasilkan komposisi yang lebih seimbang. Anda juga boleh menjadikan gambar jurugambar atau pencipta kandungan pelancongan sebagai inspirasi untuk mencuba gaya sendiri.
3. Pastikan Telefon Bersedia Untuk Digunakan
Bayangkan ketika tiba di lokasi impian, bateri telefon pula hampir habis. Sudah tentu keadaan itu boleh menjejaskan peluang untuk merakam gambar menarik.
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan bateri telefon mencukupi dan ruang simpanan masih tersedia.
Anda juga boleh membawa pengecas mudah alih bagi mengelakkan telefon kehabisan bateri ketika berada di luar.
Selain itu, semak dan padam gambar yang tidak diperlukan atau pindahkan gambar lama ke storan awan jika perlu. Langkah ini membantu memastikan ruang mencukupi untuk merakam lebih banyak kenangan sepanjang percutian.
4. Bangun Awal Untuk Mendapatkan Gambar Lebih Menarik
Jika ingin mengambil gambar di lokasi pelancongan popular, cuba datang pada awal pagi sebelum kawasan tersebut dipenuhi pengunjung.
Selain berpeluang mendapatkan gambar dengan latar belakang yang lebih kemas, anda juga boleh menikmati pencahayaan semula jadi yang lembut selepas matahari terbit.
Cahaya pagi boleh memberikan suasana yang lebih tenang dan menyerlahkan keindahan landskap.
Namun, pastikan anda merancang perjalanan dan mengambil kira faktor keselamatan ketika mengunjungi lokasi berkenaan.
5. Luangkan Masa Sebelum Menekan Butang Kamera
Jangan terburu buru mengambil gambar sebaik sahaja tiba di sesuatu lokasi.
Cuba berjalan di sekitar kawasan tersebut terlebih dahulu untuk mencari sudut yang menarik. Perhatikan kedudukan subjek, latar belakang dan unsur lain yang boleh menjadikan gambar lebih istimewa.
Ada kalanya, anda perlu menunggu beberapa minit untuk mendapatkan pencahayaan yang sesuai atau merakam detik yang tepat.
Berbanding mengambil ratusan gambar tanpa perancangan, lebih baik luangkan sedikit masa untuk menyusun komposisi dan memahami perkara yang ingin dirakam.
6. Gunakan Aksesori Yang Bersesuaian
Walaupun telefon pintar sudah memadai untuk kebanyakan situasi, beberapa aksesori tambahan boleh membantu meningkatkan pengalaman fotografi.
Antaranya ialah tripod kecil yang membolehkan telefon diletakkan pada kedudukan stabil. Aksesori ini berguna untuk mengambil gambar berkumpulan, swafoto atau gambar pada waktu malam.
Anda juga boleh menggunakan pemasa kamera supaya tidak perlu memegang telefon ketika mengambil gambar sendiri.
Bagi mereka yang gemar mencuba teknik berbeza, kanta tambahan yang dipasang pada telefon boleh memberikan pilihan sudut pandangan yang lebih luas atau membolehkan subjek kecil dirakam dengan lebih dekat.
Pilih aksesori mengikut keperluan dan pastikan ia mudah dibawa ketika melancong.
7. Manfaatkan Cahaya Semula Jadi
Pencahayaan merupakan antara faktor terpenting dalam fotografi.
Waktu sekitar sejam selepas matahari terbit dan sejam sebelum matahari terbenam sering dikenali sebagai waktu keemasan atau Golden Hour. Pada waktu ini, cahaya matahari lazimnya lebih lembut dan memberikan tona hangat yang menarik.
Keadaan tersebut sesuai untuk mengambil gambar landskap, potret dan swafoto.
Sementara itu, waktu sekitar sebelum matahari terbit atau selepas matahari terbenam boleh menghasilkan suasana kebiruan yang dikenali sebagai Blue Hour. Cahaya ketika ini sesuai untuk merakam pemandangan bandar dan landskap tertentu.
Jika mengambil gambar di kawasan gelap, elakkan menggunakan lampu denyar secara berlebihan kerana cahaya yang terlalu kuat boleh menjadikan gambar kelihatan kurang semula jadi.
Sebagai alternatif, gunakan sumber cahaya yang tersedia atau minta bantuan rakan untuk menerangi subjek dari arah yang sesuai.
8. Cuba Sudut Berbeza
Kebanyakan orang mengambil gambar dari paras dada atau mata. Untuk menghasilkan foto yang lebih menarik, cuba ubah kedudukan kamera.
Anda boleh merendahkan telefon hampir ke permukaan tanah untuk mendapatkan perspektif berbeza atau mengambil gambar dari tempat yang lebih tinggi jika keadaan mengizinkan.
Jangan takut untuk bergerak lebih dekat dengan subjek jika selamat dilakukan. Cara ini boleh membantu menonjolkan perincian tanpa terlalu bergantung pada zum digital yang berpotensi mengurangkan kualiti gambar.
Selain itu, gunakan unsur semula jadi seperti pantulan air, bayang bayang, bunga dan dedaun untuk menambah kedalaman serta daya tarikan pada komposisi.
9. Kenali Fungsi Kamera Dan Aplikasi Suntingan
Setiap telefon pintar mempunyai fungsi kamera yang mungkin berbeza mengikut model.
Luangkan masa untuk mempelajari cara menetapkan fokus, melaraskan pencahayaan, menggunakan mod potret serta mengambil gambar berturutan.
Anda juga boleh mencuba aplikasi suntingan seperti Snapseed, VSCO dan Lightroom Mobile untuk memperkemas gambar.
Antara perkara yang boleh disunting termasuk kecerahan, kontras, warna dan bayang bayang.
Bagaimanapun, elakkan suntingan berlebihan sehingga warna dan suasana asal lokasi berubah terlalu jauh daripada keadaan sebenar.
10. Nikmati Percutian Tanpa Sentiasa Memegang Telefon
Merakam gambar memang menyeronokkan, tetapi jangan sampai seluruh percutian dihabiskan dengan melihat dunia melalui skrin telefon.
Latih diri untuk memerhatikan persekitaran dan mengenal pasti perkara menarik walaupun ketika kamera tidak berada di tangan.
Perhatikan warna, bentuk bangunan, pantulan cahaya dan detik spontan yang mungkin menjadi kenangan paling bermakna.
Apabila tiba masanya, barulah keluarkan telefon untuk merakam gambar yang benar benar ingin disimpan.
Paling penting, berikan diri peluang untuk menikmati pengalaman secara langsung bersama keluarga dan rakan.
Kesimpulannya, gambar percutian yang menarik tidak semestinya memerlukan kamera mahal. Dengan memahami asas fotografi, memanfaatkan cahaya semula jadi, mencuba sudut berbeza dan menggunakan fungsi telefon dengan betul, anda boleh menghasilkan gambar yang lebih berkualiti.
Namun, jangan lupa bahawa tujuan utama melancong bukan sekadar mengumpul gambar, tetapi menikmati pengalaman dan mencipta kenangan yang bermakna.

