Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

100 Peratus Berasaskan Sawit, Biodiesel B100 Tampil Sebagai Alternatif Baharu Diesel
Krisis bekalan tenaga yang berpunca daripada peperangan antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat dunia.
Ia juga membuka mata banyak negara untuk meneroka sumber tenaga baharu bagi memenuhi keperluan pada masa akan datang.
Malaysia tidak terkecuali, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) baru-baru ini telah memperkenalkan B100 iaitu biodiesel yang 100 peratus berasaskan minyak sawit.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan biodiesel sebagai kekuatan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global, khususnya melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang meningkatkan risiko gangguan bekalan petroleum dan kenaikan harga diesel antarabangsa.
Ujarnya, melalui peranan anak syarikat FGV Holdings Berhad, Malaysia berupaya membangunkan rantaian nilai tenaga domestik yang lebih kukuh dengan memanfaatkan sumber minyak sawit tempatan sepenuhnya.

"Saya telah mengemukakan perkara ini (pelaksanaan B100) kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pada masa ini, kita memerlukan satu dasar kerajaan (yang jelas) kerana jika dilaksanakan serta-merta, bekalan (minyak sawit mentah) mungkin tidak mencukupi," katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Penghasilan biodiesel B100 dianggarkan pada harga di bawah RM5 seliter dan berpotensi menjadi alternatif berdaya saing kepada diesel konvensional, sekali gus menyokong usaha penstabilan harga bahan api domestik serta memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
Untuk pengetahuan, projek rintis penggunaan B100 telah dilaksanakan melibatkan kenderaan penumpang serta ujian lori tangki selama empat bulan pada 2024.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan karbon, malah menjadi langkah strategik dalam meneroka sumber tenaga domestik yang mampan.
"FELDA dijangka memulakan penggunaan B100 sebagai langkah awal membuktikan keupayaan bahan api tersebut, di samping memperkukuh kedudukan FGV Holdings Berhad sebagai peneraju industri biofuel negara," kata FELDA menerusi satu kenyataan di Facebook.