Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

1,000 Pencarum Terima MYRIDERID Percuma, Inisiatif Perkasa Keselamatan Penunggang Motosikal

MYRIDERID

BATU KAWAN -- Seramai 1,000 pencarum menerima MYRIDERID, iaitu sistem pengenalan kecemasan digital berasaskan imbasan kod QR yang diberikan secara percuma sempena pelancarannya, di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, hari ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan, sistem ini merupakan salah satu inisiatif memperkukuh perlindungan dan keselamatan penunggang motosikal di negara ini menerusi Kempen Penunggang Malaysia (MYRider).

“MYRIDERID berfungsi sebagai identiti kecemasan digital yang menyimpan maklumat penting penunggang seperti kontak kecemasan dan maklumat kesihatan yang boleh diakses melalui imbasan kod QR ketika berlaku kemalangan atau kecemasan.

“Bertepatan dengan slogan “Maklumat Tepat, Nyawa Selamat”, MYRIDERID memanfaatkan teknologi kod QR bagi membolehkan maklumat penting penunggang diakses dengan pantas sekiranya berlaku kemalangan sekali gus menyokong pengurusan kecemasan yang lebih cekap dan efektif.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada pendekatan keselamatan jalan raya yang komprehensif, merangkumi aspek pencegahan, perlindungan, dan respons pasca kemalangan,” ujar PERKESO.

Jelas PERKESO lagi, langkah ini diambil rentetan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan penunggang motosikal terus kekal sebagai pengguna jalan raya paling berisiko. Golongan ini merangkumi 65 peratus daripada 6,581 kes kematian keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun 2025.

Inovasi daripada MYRIDERID ini mampu menyelamatkan nyawa dengan memastikan maklumat penting penunggang dapat diakses pada saat paling kritikal sekali gus menzahirkan komitmen berterusan PERKESO dalam meneroka pendekatan inovatif yang memberi nilai tambah kepada perlindungan sosial dan kesejahteraan masyarakat, khususnya komuniti penunggang motosikal.

Sementara itu, dalam majlis sama, PERKESO turut mengadakan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dan MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.

Kolaborasi ini akan memberi tumpuan kepada program advokasi, pendidikan dan pembudayaan keselamatan jalan raya yang menyokong aspirasi melahirkan penunggang Malaysia yang selamat, berhemah dan bermaruah.

Program pelancaran ini turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Perubatan, Pencegahan dan Pemulihan PERKESO, Dr. Azlan Darus, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano, serta Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri B Ahmad

Intipati
  • Seramai 1,000 pencarum menerima MYRIDERID percuma sempena pelancarannya di Batu Kawan.
  • Sistem kod QR itu menyimpan kontak kecemasan dan maklumat kesihatan penunggang.
  • PERKESO bekerjasama dengan Boon Siew Honda dan MForce bagi promosi keselamatan motosikal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan