12 Tahun Jadi Tanda Tanya, Ini Khabar Terbaru Michael Schumacher
Legenda Formula Satu, Michael Schumacher, masih lagi menjadi sebutan sehingga kini meskipun beliau tidak lagi aktif selepas kemalangan ketika melakukan aktiviti ski 12 tahun lalu.
Keadaan dan proses pemulihan bekas pelumba yang berusia 57 tahun itu tidak didedahkan kepada umum dan terus dirahsiakan. Ia hanya diketahui oleh keluarga terdekat dan segelintir rakan yang dipercayai.
Bagaimanapun, khabar terbaru mendakwa bahawa Schumacher kini tidak lagi terlantar di atas katil.
Daily Mail dalam satu laporan eksklusif mendakwa perkara itu berdasarkan temu bual bersama sumber yang rapat dengan legenda berkenaan.
Menurut portal berita itu, Schumacher kini boleh duduk di atas kerusi roda.
Dia dijaga oleh isterinya, bersama pasukan jururawat dan ahli terapi yang bertugas 24 jam dengan kos puluhan ribu pound seminggu.
Namun tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak keluarga berhubung perkara itu.
Privasi Schumacher dilihat sebagai perkara yang paling penting. Sejak kerosakan otak yang dialaminya selepas terhempas ke batu berhampiran pusat peranginan Meribel di Alps Perancis, keadaanya dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Percubaan beberapa bekas kakitangan untuk menjual gambarnya mengakibatkan mereka didakwa di mahkamah.
Pada 2024, terdapat juga dakwaan bahawa Schumacher akan menghadiri perkahwinan anak perempuannya, Gina. Namun, ia terbukti tidak berasas.
Imbas kembali, terdapat juga khabar angin yang mendakwa bahawa Schumacher menghidap pseudocoma. Keadaan itu memperlihatkan pesakit akan sedar sepenuhnya tetapi tidak dapat bertindak balas dan hanya mampu berkelip.