Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

12 Tan Coklat KitKat Lesap Ketika Penghantaran

coklat kitkat lesap
Kredit: AFP

Sydney - Trak menghantar coklat KitKat milik syarikat makanan Switzerland, Nestle, dilaporkan dicuri di Eropah ketika penghantaran, lapor AFP.

Memetik KitKat dalam satu kenyataan kepada AFP, kecurian itu berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan di kedai menjelang sambutan Easter.

Difahamkan, trak yang membawa sebanyak 413,793 unit rangkaian coklat baharu jenama berkenaan dicuri ketika dalam perjalanan antara lokasi pengeluaran dan pengedaran.

Jurucakap jenama berkenaan memetik slogan syarikat tersebut dengan menggalakkan semua untuk berehat bersama KitKat.

“Nampaknya pencuri telah menerima mesej itu secara literal dan ‘meloloskan’ diri (break) dengan membawa lari lebih daripada 12 tan coklat kami,” katanya.

Dalam pada itu, jenama tersebut turut memaklumkan bahawa kecurian berkenaan berpotensi menyebabkan berlaku kekurangan stok KitKat di pasaran, sekali gus menjejaskan peminat menjelang sambutan Easter.

Trak lesap sebelum sempat mengedarkan coklat KitKat di beberapa negara

Trak yang membawa coklat itu dilaporkan bertolak dari Itali tengah dan dalam perjalanan menuju ke Poland, dengan perancangan untuk mengedarkan produk tersebut ke beberapa negara sepanjang laluan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak KitKat tidak menyatakan lokasi sebenar kehilangan itu berlaku, namun memaklumkan bahawa kenderaan dan muatannya masih belum ditemui.

“Siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa tempatan dan rakan rantaian bekalan,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, KitKat turut memberi amaran bahawa coklat yang hilang berkemungkinan memasuki saluran jualan tidak rasmi di pasaran Eropah.

Menurut syarikat berkenaan, produk yang dicuri masih boleh dikenal pasti melalui kod kelompok unik pada setiap bar coklat.

“Jika padanan ditemui, pengimbas akan diberikan arahan jelas tentang cara memaklumkan kepada KitKat. Kemudian sistem akan berkongsi bukti berkaitan dengan pihak berkaitan,” tambah kenyataan itu lagi.

Sumber:AFP News