Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Macam Mana Rupa Bangau Kalau Jadi Dinosaur?

dinosaur bangau
Kredit: Ariff Sabri via Bernama

Penemuan Spinosaurus mirabilis Sahara, dinosaur seumpama bangau membuka lembaran baharu dalam sejarah dinosaur selepas lebih satu abad tanpa spesies baharu direkodkan.

Kewujudan dinosaur ratusan juta tahun dahulu masih menjadi topik hangat hingga ke hari ini.

Walaupun ratusan fosil telah ditemui di pelbagai lokasi di dunia yang membuktikan pelbagai spesis dinosaur, penemuan spesis baharu masih berlaku hingga ke hari ini.

Penemuan ini sekali gus menggemparkan kalangan ahli paleontologi, terutamanya apabila perkara ini mengubah tanggapan mereka terhadap habitat spesis dinosaur sedia ada serta bentuk muka bumi sesuatu kawasan suatu ketika dahulu.

Tahukah anda.

Baru-baru ini, sekumpulan penyelidik telah menemui spesis baharu dinosaur yang seakan-akan burung bangau. Spesis ini digelar Hell-Heron dan ditemui di kawasan gurun Sahara.

Ikuti perkongsian penemuan penting yang mengubah persepsi penyelidik tentang spesis dinosaur berkenaan di bawah.

Digelar Hell-Heron, Spesies Baharu Spinosaurus Ditemui

Kredit: Dani Navarro via University of Chicago

Satu spesies baharu dinosaur dikenali sebagai Spinosaurus mirabilis ditemui di kawasan Sahara tengah, Niger.

Penemuan ini dianggap penting kerana ia merupakan spesies spinosaurid baharu pertama yang disahkan dalam tempoh lebih 100 tahun.

Kajian mengenai penemuan ini diterbitkan dalam jurnal saintifik Science.

Ekspedisi tersebut diketuai oleh Profesor Paul Sereno dari University of Chicago bersama pasukan seramai 20 penyelidik.

Dinosaur ini digambarkan sebagai pemangsa ikan bersaiz besar yang turut digelar hell-heron kerana cara hidupnya menyerupai burung bangau yang memburu dalam air.

Jambul Berbentuk Sabit Jadi Ciri Paling Menonjol

Kredit: UChicago Fossil Lab

Antara ciri paling menarik pada Spinosaurus mirabilis ialah jambul besar berbentuk sabit pada tengkoraknya.

Jambul tersebut pada awalnya tidak dikenali oleh penyelidik ketika ditemui pada tahun 2019.

Selepas kembali ke lokasi pada tahun 2022 dan menemui dua lagi jambul tambahan, barulah pasukan menyedari ia milik spesies baharu.

Struktur permukaan jambul menunjukkan ia disaluti keratin, bahan yang sama terdapat pada kuku dan tanduk haiwan moden.

Pakar turut percaya jambul ini mungkin berwarna terang ketika dinosaur itu hidup.

Gigi Bertindih Jadi Perangkap Untuk Ikan

Kredit: Keith Ladzinski via University of Chicago

Selain jambul unik, spesis ‘bangau dinosaur’ ini mempunyai struktur gigi yang tersusun secara bertindih.

Gigi rahang bawah menonjol di antara gigi rahang atas, membentuk perangkap berkesan untuk menangkap ikan licin.

Ciri seperti ini kebiasaannya ditemui pada haiwan pemakan ikan seperti ichthyosaur, buaya separa akuatik dan pterosaur.

Dalam kalangan dinosaur, ciri ini membezakan Spinosaurus daripada kebanyakan spesies lain.

Fosil ‘Dinosaur Bangau’ Ditemui Jauh Dari Laut, Ubah Teori Lama

Sebelum ini, kebanyakan fosil spinosaurid ditemui berhampiran kawasan pantai.

Keadaan itu menyebabkan sesetengah pakar beranggapan dinosaur ini hidup sepenuhnya dalam air.

Namun, fosil Spinosaurus mirabilis yang ditemui ini berada sekitar 620 batu atau kira-kira 1,000 kilometer dari laut terdekat.

Fosil tersebut juga ditemui bersama dinosaur berleher panjang dalam sedimen sungai.

Perkembangan ini menunjukkan habitatnya kemungkinan kawasan hutan pedalaman yang mempunyai banyak sungai.

Ekspedisi Bermula Daripada Catatan Lama Tahun 1950-an

Penemuan ini bermula daripada satu catatan dalam monograf pada tahun 1950-an.

Catatan tersebut menyebut penemuan gigi fosil berbentuk pedang oleh seorang ahli geologi Perancis.

Bagaimanapun, tiada penyelidik kembali ke lokasi itu selama lebih 70 tahun.

Difahamkan, ekspedisi penyelidik kali ini yang kembali ke tapak berkenaan dibantu seorang lelaki Tuareg tempatan.

Lelaki tersebut membawa mereka menaiki motosikal ke lokasi terpencil dikenali sebagai Jenguebi, tempat fosil baharu ditemui.

Profesor Dr Paul Sereno, Umpama Legenda Dunia Fosil Di Sahara

Sepanjang kerjayanya, Profesor Dr Paul Sereno dilaporkan telah menggali lebih 100 tan fosil di Sahara selama 30 tahun.

Penemuan fosil kali ini menyumbang kepada rekod penting paleontologi dan arkeologi di Niger.

Beliau turut menyumbang kepada pembinaan muzium tenaga sifar pertama di dunia yang dikenali sebagai Museum of the River di Niamey.

Muzium ini bakal mempamerkan sejarah dinosaur Afrika serta bukti bahawa Sahara suatu ketika dahulu merupakan kawasan hijau dan lembap.

Model 3D Tunjukkan Dinosaur Berebut Bangkai Ikan

Kredit: Dani Navarro via University of Chicago

Selepas fosil dibawa ke Chicago, pasukan penyelidik membersihkan dan mengimbas tulang menggunakan teknologi CT scan.

Data imbasan digunakan pula untuk membina model tengkorak digital Spinosaurus mirabilis.

Hasilnya, paleoartis menggambarkan dinosaur ini sedang berebut bangkai ikan coelacanth menerusi model 3D.

Model tersebut turut dianimasikan bagi menghidupkan semula gambaran kehidupan dinosaur tersebut.

Replika Fosil Dipamerkan Untuk Tarik Minat Generasi Muda

Sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan, replika tengkorak dan model jambul berwarna dinosaur ini turut dihasilkan.

Dimaklumkan, replika tersebut akan dipamerkan di Chicago Children’s Museum.

Pameran ini memberi peluang kepada pelajar muda melihat secara dekat penemuan terbaharu dalam dunia dinosaur.

Langkah ini diharap dapat meningkatkan minat generasi muda terhadap bidang sains dan penyelidikan.