13 Kelab Terima Lesen Kebangsaan, Kelantan Di Ambang Bahaya
PETALING JAYA, 22 Nov (Bernama) — Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sebanyak 10 kelab berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan tanpa dikenakan denda untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024-2025 dan satu pasukan iaitu Kelantan berdepan nasib buruk.
Sepuluh pasukan itu ialah juara Liga Super musim ini Johor Darul Ta’zim (JDT) diikuti Perak, Sri Pahang, Selangor, Terengganu, Penang, Kuching City, Kedah Darul Aman, Negeri Sembilan dan PDRM.
Selain itu, tiga kelab lagi iaitu Kuala Lumpur (KL) City, Kelantan United dan Sabah diberikan Lesen Kebangsaan berserta denda RM20,000 kerana kesalahan melakukan deklarasi salah manakala pemberian lesen kepada Kelantan ditangguhkan sehingga bulan depan.
Pengerusi First Instance Body (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata keputusan terhadap Kelantan disebabkan kegagalan skuad The Red Warriors menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada tarikh ditetapkan.
“Setakat tarikh akhir 15 Nov lepas, pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran ataupun persetujuan bersama permain dan pegawai sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa.
“Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 Nov untuk Kelantan menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini hari ini.
Sheikh Mohd Nasir berkata jika Kelantan berjaya menyelesaikan perkara itu, pasukan berkenaan tetap perlu menghantar surat deklarasi membuktikan ia bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 Nov mengikut subkriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 berserta penyelesaian untuk kes-kes bersangkut keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Dis ini.
Jika Kelantan gagal di fasa pertama, ia secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025 sekali gus tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super.
Dalam pada itu, Sheikh Mohd Nasir berkata mesyuarat FIB pada 31 Okt lepas bersetuju tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada tujuh pasukan Liga M3 kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.
Tujuh pasukan itu ialah Imigresen FC, KL Rovers FC, Harini Selangor FT, Armed Forces, Perlis United, Melaka dan Sarawak United.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata nasib sama ada Kelantan FC terus bersaing dalam kancah Liga Super musim depan terletak di tangan pasukan berkenaan.
Beliau yang mahu saingan Liga Super kekal diisi 14 pasukan bagi musim 2024-2025 berharap juara edisi 2011 dan 2012 itu dapat memenuhi segala syarat dan kriteria ditetapkan FIB untuk terus bersaing atau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan liga.
“Jika Kelantan tidak memenuhi syarat tersebut, secara automatik Kelantan sendiri mengeluarkan diri mereka daripada liga,” katanya.
Kelantan kini di tangga tercorot liga dengan hanya mengumpul lapan mata selepas 23 perlawanan.
Sumber: BERNAMA