Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

15 Anggota Polis & Dua Timb. Pendakwa Raya Ditahan Dalam Serbuan Di Pusat Hiburan
15 anggota polis termasuk seorang pegawai kanan dan dua timbalan pendakwa raya ditahan ketika disyaki berhibur di sebuah pusat hiburan di Seremban, awal pagi Sabtu.
Menurut Sinar Harian, serbuan pada pukul kira-kira 2.30 pagi di pusat hiburan tersebut dibuat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad mengesahkan serbuan dibuat pihaknya ketika dihubungi portal berita berkenaan.
“Saya sahkan pemeriksaan yang dijalankan oleh JIPS Bukit Aman dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
“Pemeriksaan kepada semua pengunjung pusat hiburan tersebut dibuat termasuk saringan air kencing yang dilaksanakan oleh JSJN negeri,” katanya.
Menurut Sinar Harian, difahamkan daripada jumlah penahanan itu, hasil ujian air kencing mendapati hanya seorang negatif dadah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof juga turut mengesahkan bahawa serbuan berkenaan berlaku.
“Saya hanya boleh sahkan ada serbuan dan pemeriksaan sahaja sebab laporan rasmi belum siap,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Dalam pada itu, berdasarkan laporan polis yang menjadi tular di media sosial, 15 anggota polis itu dikatakan bertugas di pelbagai jabatan.
Antaranya termasuk di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai dan Tampin, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Manakala dua timbalan pendakwaraya itu pula dikatakan masing-masing bertugas di Shah Alam dan Negeri Sembilan.
BACA: Jururawat Didapati Bersalah Bunuh Tujuh Bayi, Cuba Bunuh Enam Bayi Lagi
Sumber: Sinar Harian