Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

16 Kali Cuba Kemuka Bukti, Lelaki Akhirnya Dibebaskan Selepas 44 Tahun Dipenjara

Gambar Via Daily Mail

Seorang lelaki di Louisiana telah dibebaskan selepas 44 tahun dipenjarakan apabila dia dituduh cuba merogol dua wanita kembar pada ketika itu.

Memetik laporan Daily Mail, hakim pada Isnin lalu memutuskan bahawa dia menghadapi perbicaraan yang tidak adil pada tahun 1977.

Vincents Simmons yang kini berusia 70 tahun telah berjuang untuk membersihkan namanya sekurang-kurangnya 16 kali sebelum ini dengan mengemukakan bukti yang tidak diteliti ketika dia mula disabitkan bersalah.

Mengenai bagaimana Simmons menjadi suspek dalam kes itu masih tidak jelas dan tiada bukti fizikal yang mengaitkannya dengan kes rogol tersebut.

Dalam kejadian yang berlaku pada 44 tahun lalu itu, kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis dan mendakwa bahawa Simmons yang berusia 25 tahun pada ketika itu merogol mereka.

Sementara itu, bukti baharu yang dikemukakan kepada mahkamah ialah laporan perubatan yang dijalankan dua minggu selepas kejadian itu di mana seorang doktor mendapati bahawa salah seorang mangsa masih lagi dara.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa doktor tidak menemui tanda-tanda serangan seksual terhadap kedua-dua gadis itu.

Tidak cuma itu, terdapat juga keterangan dua wanita itu kepada polis yang mengatakan bahawa mereka tidak tahu rupa perogol tersebut dan tidak dapat menunjukkannya ketika suspek-suspek diletakkan dalam barisan.

Bagaimanapun, dakwaan itu bercanggah dengan alibi yang ada pada Simmons. Difahamkan, Simmons dipercayai sedang bergaduh di sebuah bar di seberang Paroki Avoyelles ketika kejadian rogol itu berlaku pada 9 Mei 1977, sekitar pukul 9 malam.

Simmons dan peguamnya telah berjuang selama bertahun-tahun untuk memastikan agar bukti mereka diperiksa tetapi tidak berjaya.

Nasibnya berubah apabila Hakim Louisiana, Bill Bennett berkata bukti tersebut cukup untuk melakukan perbicaraan baharu.

Bagaimanapun, peguam Daerah Avoyelles Parish, Charles Riddle berkata dia tidak mahu mangsa mengalami trauma perbicaraan yang lain dan menggugurkan pertuduhan.

Simmons telah keluar dari penjara itu pada petang Isnin lalu dan disambut oleh keluarga serta penyokongnya.

Dalam pertuduhan awal, dia dijatuhi hukuman penjara selama 100 tahun bagi setiap seorang kembar itu.

“Sekiranya ada sesiapa mempunyai keraguan, ini bukan pengisytiharan tidak bersalah sama sekali. Kami telah cuba untuk membebaskan Simmons beberapa bulan lalu kerana dia telah berkhidmat dengan cukup masa, biarlah kes ini diselesaikan dan mangsa tidak lagi menderita.

Sumber: Daily Mail