BUTTERWORTH, 1 Sept (Bernama) -- Sebanyak 21 penumpang feri Pulau Pinang dilaporkan mengalami kecederaan selepas feri berkenaan berlanggar dengan sebuah kapal di perairan berhampiran terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di sini malam ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata pihaknya mengesahkan insiden perlanggaran melibatkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya telah berlaku dalam had Pelabuhan Pulau Pinang pada 8:40 malam.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya dilaporkan sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
“Insiden perlanggaran kemudiannya berlaku melibatkan kapal berkenaan dan feri yang sedang dalam perjalanan ke PSAH. Setakat maklumat awal yang diterima, sebanyak 21 penumpang dilaporkan cedera.
“Semua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan tiada lagi mangsa berada di PSAH. Operasi perkhidmatan feri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Yeoh berkata SPPP bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan yang diperlukan dapat dilaksanakan berkaitan penumpang yang terlibat serta keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan sentiasa terjamin.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 9.58 malam sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikerah ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah feri penumpang, Feri Teluk Bahang dan sebuah kapal. Terdapat 92 mangsa termasuk penumpang yang terlibat dalam insiden itu. Berdasarkan maklumat awal, enam mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke hospital,” katanya.
Terdahulu, rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan beberapa motosikal terbalik susulan insiden berkenaan.

