Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selepas hampir lima tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, laluan feri antarabangsa yang menghubungkan Kuala Perlis dengan Satun, Thailand akan kembali beroperasi sepenuhnya bermula Khamis ini.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pembukaan semula laluan tersebut menjadi satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, selain memberi limpahan manfaat kepada rakyat serta usahawan di negeri itu.
Katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini, beliau berpeluang menyaksikan simulasi berskala penuh laluan feri Kuala Perlis-Satun sebagai persediaan sebelum pintu sempadan antarabangsa itu dibuka semula.
“Simulasi ini merupakan langkah penting bagi menguji tahap kesiapsiagaan operasi melibatkan semua agensi berkaitan agar proses keluar masuk penumpang, keselamatan, imigresen, kastam, kesihatan serta pengurusan terminal dapat dilaksanakan dengan cekap, teratur dan selamat.
“Pembukaan semula laluan feri ini bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, malah dijangka merancakkan sektor pelancongan, perdagangan serta memberi limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat dan para usahawan di Perlis,” katanya.
Menurut Abu Bakar, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan, agensi penguat kuasa serta pihak berkepentingan yang menjayakan simulasi tersebut.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan menjadi pemangkin kepada pembukaan semula laluan feri Kuala Perlis-Satun demi kemakmuran negeri Perlis dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, operasi feri pada peringkat awal akan dimulakan dengan satu perjalanan terlebih dahulu bagi mengambil kira keadaan air di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebuah jeti terapung di Kuala Perlis turut dirancang untuk dibina dalam tempoh tiga minggu bagi memastikan perkhidmatan feri dapat diteruskan walaupun ketika air surut.