Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Taufan Bavi Dijangka Hampiri Okinawa Minggu Ini

OKINAWA
Kredit: AFP

Taufan Bavi Dijangka Hampiri Okinawa Minggu Ini

Taufan Bavi yang dikategorikan sebagai taufan besar dan ganas kini bergerak ke arah barat berhampiran Kepulauan Mariana di Lautan Pasifik dan dijangka menghampiri kawasan selatan Okinawa, Jepun pada hujung minggu ini, lapor Kyodo News.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), taufan itu dijangka bergerak ke kawasan timur Filipina sebelum menghampiri Wilayah Okinawa sekitar Jumaat dan Sabtu, sebelum meneruskan laluan ke Laut China Timur.

Menurut agensi itu, Okinawa berkemungkinan berdepan hujan lebat, ombak besar serta fenomena air pasang bergantung kepada perubahan laluan taufan berkenaan.

Selain itu, keadaan laut bergelora turut dijangka berlaku di perairan selatan pulau utama Kyushu serta beberapa pulau di bahagian barat daya Jepun.

Sehingga pukul 3 pagi Selasa waktu tempatan, Taufan Bavi yang merupakan taufan kesembilan bagi musim ini berada berhampiran Kepulauan Mariana dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan kira-kira 30 kilometer sejam.

Menurut JMA, taufan itu membawa angin maksimum sehingga 270 kilometer sejam dengan tekanan atmosfera sekitar 920 hektopaskal di pusatnya.

Sementara itu, Pusat Amaran Taufan Bersama (JTWC) Amerika Syarikat mengklasifikasikan Bavi sebagai "super typhoon" berikutan kekuatan angin dan intensiti sistem cuaca berkenaan.

Pihak berkuasa Jepun turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya terus mengikuti perkembangan terkini cuaca serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya laluan taufan berubah dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Sumber:Kyodo News