Pemergian seorang bapa pastinya meninggalkan kesan mendalam buat anak-anak, lebih-lebih lagi apabila mereka masih kecil dan memerlukan kasih sayang serta perhatian daripada insan yang menjadi tempat bergantung.
Dalam keadaan keluarga masih bersedih dengan kehilangan tersebut, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan anak-anak Allahyarham Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA dapat dibawa ke Oman untuk bersama keluarga dan memberikan penghormatan terakhir buat bapa mereka.
Pasport anak-anak Allahyarham akhirnya siap
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi satu hantaran di Threads yang memaklumkan tiga anak Allahyarham sudah memperoleh pasport masing-masing.
Menurut Saiful, mereka dijangka berlepas ke Oman pada keesokan pagi dan tiba di Muscat sekitar tengah hari, tertakluk kepada ketersediaan penerbangan Oman Air.
“Anak-anak @akhmal_asyraf dah dapat pasport. Esok pagi kalau dapat penerbangan @omanairofficial terbang pagi sampai Muscat tengah hari esok.
“Ramai santuni mereka di imigresen,” tulisnya.

Urusan dipermudah walaupun pada hari cuti
Sebelum ini, Saiful turut berkongsi perkembangan mengenai usaha mendapatkan pasport untuk anak-anak Allahyarham yang berjalan lancar meskipun melibatkan urusan pada hari cuti.
Menerusi hantaran terdahulu, beliau memaklumkan bahawa urusan di Kedutaan Besar Malaysia turut berjalan dengan baik, manakala urusan di Malaysia dipermudah oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan bantuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Urusan dengan Kedutaan Besar Malaysia untuk pasport anak-anak @akhmal_asyraf dan @kak_jiha berjalan lancar sekalipun hari cuti.
“Di Malaysia, urusan dipermudah oleh @imigresen dengan bantuan YB @saifnasution_ dan pasport sedang dikeluarkan,” katanya.

Mereka dijangka berangkat bersama nenek sebelah ibu yang dikenali sebagai Ummi Jiha, manakala anak bongsu Allahyarham, Iris tidak dapat mengikuti perjalanan tersebut atas kekangan teknikal.
Saiful turut merakamkan penghargaan kepada individu yang sudi menaja penerbangan mereka ke Muscat.

Sementara itu, Saifuddin menerusi hantaran di Threads meluahkan rasa sebak apabila memikirkan tiga beradik itu.
“Sejak pagi tadi, saya menerima panggilan bertalu-talu daripada pelbagai pihak yang memaklumkan kesukaran anak-anak Allahyarham Akhmal Asyraf, atau Kapten AA, mendapatkan pasport untuk ke Oman, tempat ayah mereka akan disemadikan.
“Sebak hati saya memikirkan tiga beradik ini. Dalam saat baru kehilangan ayah tersayang, mereka sedang berusaha untuk sampai ke sana bagi memberi penghormatan terakhir,” katanya.
Saifuddin berkata beliau segera meminta pegawai beliau menghubungi Saiful Nang untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menyelaras urusan pasport bersama wakil keluarga.
“Alhamdulillah, petang ini Isa, Hud dan Luth telah menerima pasport mereka di UTC Shah Alam.
“Terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas tindakan pantas, serta kepada semua yang membantu dan menitipkan doa,” ujarnya lagi.
Semoga segala urusan perjalanan anak-anak Allahyarham dan ahli keluarga dipermudahkan serta mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham Akhmal Asyraf dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

